KUALA LUMPUR: Seramai 17 pegawai kanan dari pelbagai Kor Tentera Darat (TD) dinaikkan pangkat dalam Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan TD yang disempurnakan Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Dato’ Seri Panglima Hj Ahmad Hasbullah Hj Mohd Nawawi di Dewan Tanjung, Wisma Transit pada 30 Jan 2019.
Mendahului senarai, Brig Jen Dato’ Hj Mohd Hassan Loman yang dinaikkan pangkat daripada Brig Jen ke Mej Jen dan kekal menjawat jawatan sebagai Ketua Staf Am, Markas Pemerintahan Medan Barat TD serta Brig Jen Dato’ (Dr) Zulkeffeli Mat Jusoh turut dipakaikan pangkat yang sama dan menjawat jawatan Pengarah Perubatan, Bahagian Perkhidmatan Kesihatan, MK ATM.
Majlis diteruskan dengan pemakaian pangkat kepada tujuh pegawai kanan yang dinaikkan pangkat daripada Kol ke Brig Jen didahului oleh Kol Zahari Mohd Ariffin menjawat jawatan sebagai Juruiring TD kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Ke-XVI, Kol Hj Zulkefli Hj Abdullah menjawat jawatan sebagai Pengarah Pendidikan MK ATM, Kol (Dr) Mohamed Haizar Hj Haron menjawat jawatan sebagai Pengarah Perubatan Penerbangan, 91 IPP, Kol (Dr) Omar Loman @ Abd Rahman menjawat jawatan sebagai Pakar Anestesia, HAT Mizan, Kol (Dr) Masdiamin Mohamad Nor menjawat jawatan sebagai Pakar Orthopedik, 94 HAT, Kol Hamzah Ali menjawat jawatan sebagai Ketua Komponen Fusion Centre, Komponen Perisikan Pertahanan, ESSCOM dan Kol Hj Ismail Hj Mogiri menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah Bahagian Bantuan Khidmat, Markas Pemerintahan Medan Timur TD.
Manakala empat pegawai dinaikkan pangkat dari Lt Kol ke Kol dan empat pegawai dinaikkan pangkat dari Mej ke Lt Kol.
Dalam ucapan PTD, beliau menyatakan bahawa lebih tinggi sesuatu pangkat, lebih tinggi tahap piawaian yang perlu dipenuhi serta cabaran mutlak seterusnya adalah memelihara prestasi diri dan kepercayaan organisasi.
“Kepada mereka yang dinaikkan pada hari ini, ingatlah bahawa sebagai pemimpin, saudara-saudara kini diamanahkan dengan tanggungjawab yang lebih besar lagi mencabar serta bertanggungjawab melatih anggota bawahan untuk melaksanakan tugas demi organisasi.
“Namun saya percaya bahawa dengan kredibiliti yang sedia terbukti, apa jua kewajipan yang digalas akan dapat disempurnakan dengan jitu serta selamat menjalankan amanah dengan sebaik mungkin demi negara dan TD,” ujar PTD.
Pada masa sama PTD turut menyampaikan Buku Dari Meja PTD kepada semua pegawai kanan yang hadir menyaksikan majlis pemakaian pangkat tersebut.
Turut hadir Panglima Medan Barat TD, Lt Jen Datuk Azizan Md Delin, Panglima Medan Timur TD, Lt Jen Datuk Wira Zamrose Mohd Zain dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Lt Jen Dato’ Pahlawan (Dr) Md Amin Muslan.