PengorbananRencana

Jerangkap Samar Pahat Memori – LKpl Mohd Jamal Ab Rahman (Bersara)

Setiap anggota tentera yang berkhidmat sekitar tahun 70-an pastinya ada menyimpan pelbagai kenangan suka dan duka ketika mengharungi pahit getir perjuangan dalam mempertahankan tanah air tercinta. Dalam mencapai erti sebuah kemerdekaan, pahlawan-pahlawan terdahulu sanggup menggadai nyawa demi memastikan sebuah kehidupan yang selesa, aman dan makmur demi untuk dinikmati oleh generasi akan datang. Sebagai gantinya, banyak nyawa anggota keselamatan yang terkorban dan tercedera ketika bertempur pada masa itu. 

Sebagai generasi yang menikmati sebuah kehidupan yang tenang ini, kita seharusnya bersyukur atas segala pengorbanan dan perjuangan yang telah dicurahkan oleh anggota keselamatan terdahulu. Tiada jaminan negara akan kekal aman dan makmur sekiranya generasi baharu tidak mengendahkan sejarah perjuangan serta pengorbanan generasi terdahulu sehingga sanggup menggadaikan nyawa sendiri. 

Peristiwa 46 tahun lepas masih segar dalam ingatan dan seperti baru semalam sahaja berlaku serta meninggalkan kesan yang mendalam ke atas kehidupan LKpl Mohd Jamal Abd Rahman (Bersara), 68, yang pernah bertempur dengan pengganas komunis suatu ketika dahulu sehingga mengakibatkan beliau mengalami kecacatan kekal. 

Sebagai pengajaran dan sumber inspirasi kepada generasi kini, ikutilah wawancara Wartawan Berita Tentera Darat Malaysia (BTDM), Pbt Mohammad Shukri Suhaimi bersama Jurugambar, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi. 

Masih jelas dalam ingatan LKpl Mohd Jamal Abd Rahman (B) sewaktu menghadapi detik-detik mencemaskan ketika beliau mengalami cedera parah akibat menjadi mangsa jerangkap samar yang ditanam oleh komunis di kawasan Empangan Temenggor Gerik, Perak semasa melaksanakan Operasi KOTA pada 9 Apr 1975. 

Pada ketika itu, beliau yang masih berpangkat Spr bertugas di 1 Skn RAJD bersama Trup Kedua diketuai oleh Lt Ibrahim Long, SSjn Manaf sebagai Trup Sjn dan Sjn Azizan pula sebagai Sjn Tinjau, manakala Ketua Seksyen Kedua Trup, Kpl Aziz serta beberapa anggota yang masih diingatinya iaitu Spr Shamnmugan dan Spr Muhamad Sham Harun telah diatur gerak menyertai Operasi KOTA di kawasan pembalakan Empangan Temenggor. 

Setelah tiba di kawasan pangkalan gerakan di Kem Gerik, mereka diarahkan melakukan tugas mengesan dan menghapuskan jerangkap samar di kawasan sasaran yang telah dikenal pasti bagi membantu unit dari Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD). LKpl Mohd Jamal Abd Rahman (B) berjaya menghapuskan dua jerangkap samar yang ditanam oleh musuh sebelum pulang ke pangkalan. 

Sebaik sahaja sampai di Kem Gerik, semasa hendak turun dari kenderaan tiga ton, beliau dan kumpulannya menerima berita dan diarahkan balik semula ke kawasan operasi kerana terdapat Laporan Penglihatan mengenai Pengganas Komunis (PGK) dan mengikut risikan, PGK telah menanam jerangkap samar di kawasan tersebut. Pada jam 1500 mereka bergerak semula ke kawasan operasi dan cuaca agak buruk apabila hujan turun dengan lebat serta guruh berdentum ketika dalam perjalanan. 

Mereka tiba di kawasan Empangan Temenggor lebih kurang jam 1800 dan ketika itu hujan telah berhenti. Beliau dan kumpulannya diberikan taklimat oleh Pegawai Operasi Unit 2 RAMD, bahawa mereka bersama Seksyen Unit 2 RAMD akan membuat penjejakan dan membersihkan jerangkap samar jika dapat dikesan di kawasan sasar yang telah dikenal pasti. 

Pada awalnya, tugasan ini mendapat bantahan darinya dan anggota jurutera yang lain disebabkan hari yang kian gelap kerana mengikut peraturan pembersihan jerangkap samar yang telah ditetapkan oleh pasukan jurutera, mereka hanya dibenarkan untuk tujuan pembersihan setakat jam 1500 sahaja. Namun, Pegawai Operasi Unit 2 RAMD menyatakan bahawa mereka terpaksa melakukannya atas arahan Pegawai Memerintah. 

Akur dengan arahan tersebut, mereka mula bergerak ke lokasi sasaran pada jam 1830 dan tidak berapa lama selepas bergerak, kumpulan tersebut berhenti dan memeriksa sebatang balak yang menghalang jalan yang hendak dilalui. Setelah mendapati tiada tanda-tanda mencurigakan, mereka meneruskan perjalanan di mana ketika itu beliau berada di kedudukan nombor empat dalam satu barisan gerakan. 

Semasa melepasi halangan balak, tiba-tiba anggota paling hadapan telah terpijak suis jerangkap samar yang mana bahan letupannya betul-betul ditanam di bawah kelangkang LKpl Mohd Jamal. BOOMM!! Bunyi letupan kuat seperti guruh menyelubungi sekeliling telah mengharu-birukan keadaan dan mengakibatkan beliau melambung tinggi ke udara serta jatuh ke dalam lubang sedalam lebih kurang tiga kaki yang ada di kawasan tersebut. 

Anggota lain yang tersentak melihat kejadian itu terus serta-merta mencari perlindungan dan salah seorang berteriak “Spr Mohd Jamal terkena jerangkap samar!!”. Setelah keadaan kembali selamat, anggota perubatan dari Unit 2 RAMD menghampiri dan memeriksa beliau yang masih sedar serta berada dalam keadaan berlumuran darah di bahagian dahi dan lehernya kelihatan terkoyak, serta terdapat cebisan daging yang melekat pada hujung laras senjatanya. 

Setelah pemeriksaan teliti dibuat, kaki kanannya didapati hancur dan putus hingga paras lutut, manakala kaki kirinya patah tiga dari paras lutut ke bawah akibat letupan jerangkap samar. Selain itu, beliau turut hilang penglihatan pada kedua-dua belah matanya disebabkan terkena serpihan jerangkap samar. Ketika itu terlintas di fikiran beliau mungkin dirinya sudah tiada harapan untuk hidup disebabkan kehilangan darah yang banyak. Beliau merasakan ajalnya sudah tiba dan hanya berserah kepada takdir Allah SWT pada ketika itu. 

Sementara itu, anggota perubatan telah memberikan rawatan awal dengan menghentikan pendarahan serta menyuntik morphin kepada beliau bagi menghilangkan kesakitan yang dialaminya. Beliau kemudian diterbangkan dari Gerik ke Taman Tun Dr Senivasagam, Ipoh dengan menaiki helikopter Alouette untuk dibawa terus ke Hospital Ipoh. 

Namun, nyawa beliau masih panjang walaupun selepas koma selama 14 hari dan ketika sedar itu beliau meras akan bahawa nasibnya kurang baik. Beliau tidak dapat melihat selama enam bulan akibat terkena serpihan jerangkap samar. Semasa berada di hospital beliau telah menjalani sebanyak lapan kali pembedahan di mana kaki kanannya dipotong sehingga paras paha. 

Beberapa siri pembedahan mata dibuat serta pembedahan memulihkan kaki kirinya. Beliau akhirnya keluar daripada Hospital Ipoh pada bulan Ogos 1977 setelah lebih kurang dua tahun empat bulan berada di sana bagi mendapatkan rawatan pemulihan. Beliau kemudiannya ditumpangkan di Hospital Kinrara untuk pemerhatian lanjut dan seterusnya ditumpangkan di Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) Kem Majidee bagi tujuan membuat kaki palsu. 

Pada ketika itu, beliau terpaksa berulang-alik ke Steele Road di Singapura bagi tujuan membuat kaki palsu di sebuah syarikat pembuatan barang gantian palsu di Raja Limb Centre, Singapura. Setelah kaki palsunya siap dan pulih sepenuhnya, beliau diberikan peluang untuk memilih pasukan yang dikehendakinya. 

Akhirnya beliau ditukarkan ke Skuadron Kelima Rejimen Jurutera Askar Diraja (5 Skn RAJD) yang berpangkalan di Sabah. Namun, beliau mengambil keputusan untuk menolak dan memohon untuk bertukar ke 3 Skn RAJD yang akan berpindah ke Kem Terendak, Melaka. Beliau meneruskan kerjayanya sebagai Jurusemboyan Jurutera di pasukan baharu. Beliau dinaikkan ke pangkat LKpl dan bersara pada 19 Feb 1993. 

Mengimbas latar belakang LKpl Mohd Jamal (B), beliau dilahirkan pada 24 Okt 1953 di Kampong Semabok, Batu 2 . Melaka dan membesar serta bersekolah di Gersik Muar, Johor. Selepas menamatkan persekolahan, beliau memasuki perkhidmatan Tentera Darat pada 20 Feb 1972 dan menjalani latihan rekrut di Port Dickson. 

Setelah tamat latihan, beliau ditukar ke 6 Skn RAJD yang baru ditubuhkan berpangkalan di Kem Sanggro, Taiping, Perak. Tidak berapa lama kemudian, 6 Skn RAJD berpindah pula ke Kem Batu 3 Temerloh, Pahang. Semasa di pasukan, beliau menghadiri kursus semboyan jurutera di 10 Rejimen Latihan Jurutera di Kluang, Johor. 

Apabila tamat kursus, beliau kembali ke pasukan untuk bertugas sebagai Jurusemboyan Jurutera. Tidak lama kemudian, beliau ditukarkan ke 1 Skn RAJD pada penghujung tahun 1974, apabila Kor Jurutera mengumpul seberapa ramai anggota untuk bertugas di 1 Skn RAJD bagi menampung kekuatan anggota untuk tugas operasi menentang insurgensi komunis yang begitu meruncing pada ketika itu. 

Bagi mengenang jasa dan pengorbanan yang telah disumbangkan kepada negara, LKpl Mohd Jamal (B) telah dianugerahkan Pingat Kepujian Perutusan Keberanian (KPK) pada tahun 1976 oleh Yang di-Pertuan Agong, Darjah Ahli Perajurit Taming Sari (ATS) pada tahun 1988 oleh Paduka Seri Sultan Perak dan Pingat Jasa Malaysia (PJM) oleh Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran. Beliau telah mendirikan rumah tangga bersama Arifah Ismail pada 29 Okt 1977 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Muhammad Ayub, Nuraida dan Muhammad Arif. Beliau kini menetap di Kampar, Perak. 

Segala pengorbanan yang beliau curahkan sememangnya tidak dapat dinilai atau dibalas dengan wang ringgit, namun sekiranya generasi baharu menghayati dan menghargainya maka ianya sudah cukup bermakna bagi diri beliau. Sebelum mengakhiri perbualan bersama wartawan BTDM, beliau menasihati generasi kini yang berbilang bangsa agar bersatu padu mempertahankan kemakmuran bumi Malaysia yang berdaulat dan tercinta, serta bersaing dengan cara yang sihat demi memajukan diri, keluarga, bangsa dan negara untuk kebaikan bersama. 

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button