Bersama PemimpinSemasa

254 Pegawai Kadet Zon Tengah Satu Ditauliahkan Secara Rasmi

SELANGOR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menyempurnakan Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam Ke-39 Zon Tengah Satu di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DeCTAR) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 27 Jan 2022.

Seramai 254 Pegawai Kadet berjaya ditauliahkan terdiri daripada 112 Pegawai Kadet Lelaki dan 142 Pegawai Kadet Wanita yang telah menamatkan pengajian di UKM, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UITM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Serawak (UNIMAS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

PTD mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pegawai kadet yang berjaya ditauliahkan sebagai pegawai muda di dalam Rejimen Askar Wataniah (AW).

“Profesion ketenteraan menekankan erti pengorbanan yang sebenar sama ada meneruskan kerjaya dalam bidang ini atau sektor awam dan hari ini seharusnya saudara saudari jadikan sebagai permulaan untuk menjadi warganegara yang lebih baik disebabkan pengalaman serta latihan sewaktu menjadi Pegawai Kadet.

“Berbekalkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang tiga tahun latihan PALAPES serta semangat juang dan sikap positif yang ditunjukkan sudah tentu saudara saudari mampu menempuh setiap cabaran dalam kerjaya masing-masing.

“Namun harus diingat, kemahiran yang disemai ini merupakan pengetahuan asas yang perlu digilap dan masih banyak lagi ilmu pengetahuan serta kemahiran yang perlu dipelajari agar sejajar dengan perkembangan kerja masing-masing,” jelas PTD dalam ucapannya.

Acara pemakaian pangkat dibahagikan kepada lima sesi di mana dua sesi disempurnakan sendiri oleh PTD dan dibantu oleh Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Pahlawan Mohammad Ab Rahman manakala tiga lagi sesi disempurnakan oleh TPTD dibantu oleh Pemangku Panglima Medan Barat Tentera Darat merangkap Panglima Divisyen Keempat Infantri Malaysia (4 Div), Mej Jen Dato’ Hj Ya’acob Hj Samiran.

Kemudian, acara diteruskan dengan penyampaian anugerah kadet terbaik UKM, USIM, UIAM, UMP, UITM dan UM di mana Pegawai Kadet ini dinilai keseluruhan daripada segi personaliti, kepimpinan, pengetahuan isu semasa serta penglibatan dalam PALAPES.

Pegawai Kadet terbaik PALAPES UKM telah dianugerahkan kepada Lt M Muhammad Amirul Farhan Abdul Razak berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Syariah manakala Pegawai Kadet terbaik PALAPES USIM dianugerahkan kepada Lt M Afiif Mohd Nazir lulusan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab.

Selain itu, Pegawai Kadet Terbaik PALAPES UIAM dianugerahkan kepada Lt M Wan Muhd Syafiq Safri Wan Ismail berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang manakala Pegawai Kadet Terbaik PALAPES UMP telah dianugerahkan kepada Lt M Muhammad Rusyaidi Azmi yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal (Automotif).

Seterusnya, Pegawai Kadet Terbaik PALAPES UITM dianugerahkan kepada Lt M Nor Emyzan Mohd Yusak lulusan Ijazah Sarjana Muda Ukur Bangunan dan akhir sekali Pegawai Kadet Terbaik PALAPES UM dianugerahkan kepada Lt M Syafiq Faizullah Shaharuddin lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Bioperubatan.

Keenam-enam Pegawai Kadet Terbaik telah dianugerahkan Pedang Kehormat sebagai hadiah atas semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang menjalani latihan PALAPES.

Turut hadir, Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Nazari Abd Hadi, Komandan PALAPES UKM, Kol (Kehormat) Prof. Dato’ TS Dr. Mohd Ekhwan Hj Toriman dan Pemangku Komandan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Lt Kol Prof. Ts Dr. Muhd Zu Azhan Yahya.

Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button