KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menjelaskan bahawa kenaikan pangkat merupakan suatu anugerah di mana ianya hadir bersama amanah, tanggungjawab dan tugas yang harus dipikul dengan sebaik-baiknya.
“Sebagai seorang Pegawai Sukarela dan Tauliah Kehormat Askar Wataniah (AW), kalian terikat dengan peraturan serta arahan yang dikeluarkan oleh Tentera Darat (TD) khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya,” jelas PTD.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Sukarela dan Tauliah Kehormat AW di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 13 Mei 2022.
Terdahulu, PTD dan Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman menyempurnakan pemakaian pangkat ke atas seramai 36 pegawai yang telah diperkenankan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong melalui syor Majlis Angkatan Tentera.
Kemudian, acara diteruskan dengan Majlis Simbolik Penutupan Program Titipan Kasih Harian Metro-Affin Islamik di mana PTD telah menerima mock cheque daripada Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamik Bank, Encik Nazlee Khalifah dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Encik Husain Jahit.
Penganjuran program tersebut merupakan inisiatif khusus bagi menghargai komitmen petugas barisan hadapan anggota sukarela AW yang terlibat secara langsung dalam menghadapi pandemik COVID-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Seramai 371 anggota sukarela AW di Semenanjung Malaysia yang layak telah menerima sumbangan berupa barang keperluan harian bernilai RM 200 dan wang tunai RM 300 setiap orang menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM 185,500.
Pelaksanaan program seumpama ini seiring dengan tema Hari Tentera Darat Ke-89 iaitu Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Hafizuddeain Jantan dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Hj Subari Hj Tomo.
Gambar: LKpl Zulkarnain Maxmillan Abdullah