KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menjelaskan bahawa kejayaan anak-anak dalam bidang akademik datangnya daripada kesungguhan dan berkat usaha ibu bapa serta pemimpin yang telah membimbing mereka sehingga mencapai kecemerlangan.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan TD di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 4 Nov 2022.
Anugerah Kecemerlangan Pendidikan ini diwujudkan sebagai satu dorongan dan pengiktirafan kepada anak-anak warga Tentera Darat (TD) yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berjaya melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT).
Terdahulu, PTD menyempurnakan penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan kepada anak-anak warga TD yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan di mana ianya terdiri daripada 49 pelajar SPM dan 13 pelajar kemasukan IPT.
Seterusnya, beliau menyampaikan sebanyak 22 unit komputer riba kepada anak-anak warga TD yang sedang melanjutkan pelajaran di IPT.
Semua komputer riba berkenaan merupakan sumbangan daripada Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Majlis diakhiri dengan penyampaian sumbangan cek bantuan senggaraan pusat tuisyen bernilai RM 90,000.00 yang diberikan kepada PTD bagi mewakili dua buah pusat komuniti pendidikan di bawah TD iaitu Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) Bukit Jalil dan Pusat Tuisyen Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Sungai Besi.
Penganjuran majlis ini mendukung Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Ketua Staf Markas Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Lt Jen Dato’ Dr Zulkeffeli Mat Jusoh.
#KesejahteraanWargaTD