NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua Perajurit Muda (PM) Lelaki Siri 195/2022 kerana berjaya menempuh pelbagai dugaan dan cabaran serta membuktikan keupayaan diri sebagai benteng yang bakal mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
“Amanah yang dipikul perlu digalas dengan penuh rasa tanggungjawab walau apa jua cabaran dan rintangan yang mendatang.
“Saya menyeru agar semua Perajurit Muda memberi sepenuh perhatian kepada tugas serta lengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran supaya sebarang penugasan dapat dilaksanakan dengan sempurna,” ujarnya.
Demikian ucapan PTD semasa Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 195/2022 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 10 Dis 2022.
Terdahulu beliau menerima tabik hormat daripada kontijen perbarisan diketuai oleh PM Keseluruhan Terbaik iaitu PM Muhammad Fazdli Ilahi.
Seramai 2,417 PM terdiri daripada 26 berkelulusan diploma pelbagai jurusan, tujuh berkelulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), 84 kelulusan Sijil Vokasional Malaysia (SVM), 220 Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dan 2,080 PM berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah berjaya menamatkan latihan selama enam bulan bermula 10 Jun 2022.
Selain Anugerah PM Keseluruhan Terbaik, perbarisan pada siri ini menyaksikan seramai empat lagi PM menerima Anugerah dan Piala Pusingan yang terdiri daripada Ketenteraan Terbaik disandang oleh PM Muhammad Taqiuddin Mohd Isah, Kawad Terbaik PM Muhammad Amar Ridzuan Sazali, Akademi Terbaik PM Luqman Hakim Hasrul manakala Jasmani Terbaik disandang oleh PM Binon Jubi.
Penerima anugerah yang dipilih merupakan PM yang mempamerkan persembahan terbaik sepanjang latihan dan ianya merupakan pengiktirafan di atas pencapaian serta kecemerlangan yang ditunjukkan semasa berada di PUSASDA.
PTD turut mengingatkan kepada setiap PM supaya menghindari sebarang unsur negatif yang boleh menjejaskan kerjaya sebagai seorang anggota tentera dan beliau menegaskan tidak akan berkompromi dengan mereka yang melakukan kesalahan.
“Rancanglah perbelanjaan dengan baik, sesungguhnya kegagalan merancang kewangan mendorong kepada aktiviti tidak sihat yang akan menjejaskan perkhidmatan,” tambah PTD lagi.
Di samping itu, Tentera Darat (TD) sentiasa mengalu-alukan penyertaan anak muda dalam TD tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang taraf pendidikan untuk menabur bakti dalam kerjaya ketenteraan ini dengan syarat minimum SPM yang lulus kredit dalam semua mata pelajaran teras.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.
Gambar: Kapt Mursyideen Ahmad Iskandar Shah, PW ll Shamsul Zaidi Zolkoffly, Pbt Mohammad Fadzil Akirul & Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir