PUTRAJAYA: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan (YDP) Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Hj Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hjh Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan Tahun 2023 di Dataran Pahlawan Negara pada 31 Jul 2023.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM dan Ketua Polis Negara (KPN), Insp Jen Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid.
Istiadat Sambutan Hari Pahlawan ini dimulakan dengan perarakan masuk perbarisan berkonsepkan statik yang terdiri daripada enam detasmen melibatkan seramai 18 pegawai dan 652 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) gabungan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Persatuan Veteran ATM serta Pesara Polis dan Bekas Polis Malaysia (PBPM) yang diketuai oleh Supt Rezuan Juragan.
Istiadat diteruskan dengan perarakan masuk Panji-panji SPB YDP Agong dan Panji-panji Rejimen daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) bersama Kawalan Kehormatan Utama yang melibatkan empat pegawai dan 103 anggota LLP.
YDP Agong menerima tabik hormat daripada kontinjen perbarisan dengan diiringi alunan lagu Negaraku daripada Pancaragam Gabungan Pusat PDRM dan Pancaragam Pusat ATM dengan disusuli 21 das tembakan kehormatan oleh 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja (41 Bti RAD).
Acara diteruskan dengan Tiupan Paluan Akhir atau Last Post dengan menurunkan Jalur Gemilang bagi menandakan isyarat di medan perang untuk anggota pasukan sahabat mencari saki-baki anggota yang terkorban atau cedera untuk dibawa pulang.
Antara acara menarik turut diadakan adalah seperti deklamasi sajak berjudul ‘Pahlawanku’ yang disampaikan oleh PW I Mazlan Mat Jusoh (ATM) bersama Sjn Roseshini Kasim (PDRM) sebelum diteruskan dengan persembahan pantomim bertajuk ‘Op Daulat Kampung Simunul’ bagi mengenang pengorbanan pejuang serta memperingati insiden pencerobohan yang berlaku di Kampung Simunul, Semporna, Sabah pada 2 Mac 2013
Baginda dan Permaisuri Agong turut berkenan mencemar duli menyantuni ahli keluarga mangsa yang terkorban selepas menyaksikan persembahan menyentuh hati tersebut.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM.
Gambar: PW II Shamsul Zaidi Zolkoffly, LKpl Mohammad Shukri Suhaimi, LKpl Mohammad Fadzil Akirul & Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir