PAHANG: Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan mengucapkan setinggi-tinggi penghormatan kepada Mej Jen Sarman Bahrom atas dedikasi yang tidak berbelah bahagi sepanjang 38 tahun perkhidmatan luar biasa terhadap negara tercinta khususnya dalam Kor Rejimen Renjer Diraja (RRD).
“Sikap beliau yang amat berdedikasi, berwawasan serta berketerampilan wajar diteladani dan dijadikan pedoman oleh seluruh warga Tentera Darat (TD) terutama bagi mereka yang masih baru berkecimpung dalam organisasi ini,” ujar TPTD.
Beliau berkata demikian dalam Perbarisan Penghargaan Mej Jen Sarman Bahrom di Padang Kawad Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (Mekanize) (7RRD (Mek)) pada 14 Ogos 2023.
Perbarisan ini terdiri daripada empat detasmen melibatkan 17 pegawai dan 277 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) berserta 27 buah Kenderaan Jenis A (KJA) Pelbagai Varian dengan diiringi oleh Pancaragam Pusat RRD bersama Platun Tambor dan Serunai 7 RRD (Mek).
Menelusuri latar belakang mantan Inspektor Jeneral Tentera Darat (IJ TD), Mej Jen Sarman Bahrom yang mula berkhidmat pada 7 Sep 1985, beliau pernah menyandang beberapa jawatan penting seperti Pegawai Memerintah 7 RRD (Mek), Pengarah Logistik dan Panglima Briged Ke-31 Infantri Malaysia (31 Bgd).
Perbarisan kemudian diteruskan dengan jamuan makan dan penyampaian cendera kenangan sebelum diakhiri dengan acara Street Lining sebagi simbolik penghargaan kepada Mej Jen Sarman Bahrom.
Turut hadir, Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Mej Jen Datuk Abdul Rahman A Wahab, Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Rashidin Hashimi Ab Rashid dan Panglima Briged Keempat Infantri Malaysia (Mekanize), Brig Jen Mohd Rafi Muhammad.
Gambar: Pbt Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein & Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir