Bersama Pemimpin

TD Perlukan Golongan Belia Berkemahiran – PTD

NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan mengalu-alukan penyertaan golongan muda dari pelbagai kaum yang mempunyai kemahiran serta pengetahuan teknikal untuk menyertai Tentera Darat (TD).

“TD memerlukan calon Perajurit Muda (PM) yang mempunyai kemahiran teknikal atau teknologi kerana sekarang kita berdepan dengan era teknologi mahupun sistem yang baharu.

“Kalau boleh kita perlukan calon-calon Perajurit Muda yang mempunyai kemahiran pengetahuan teknikal yang berkaitan dengan peralatan yang kita perlukan nanti,” kata PTD.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 199/2024 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) pada 11 Mei 2024.

Tambahnya lagi, bagi menarik minat golongan muda berkenaan, pihaknya akan mengusulkan rekrut yang mempunyai diploma untuk dibayar setimpal dengan kelayakan akademik mereka.

“Kerana di masa hadapan, kita sudah usulkan perajurit muda yang mempunyai diploma ini dibayar gaji setimpal dengan kelayakan diploma yang diiktiraf oleh perkhidmatan.

“Jadi beri kelebihan pada mereka yang mempunyai diploma ini akan diberi gaji mengikut kelayakan diploma masing-masing,” jelasnya.

PTD juga mengucapkan syabas dan tahniah serta amat menghargai kesudian para ibu bapa merestui anak-anak mereka memasuki perkhidmatan ketenteraan.

“Saya amat menghargai kesudian para ibu bapa merestui anak masing-masing dahulunya ditatang bagai minyak yang penuh tetapi kini memasuki pula perkhidmatan ketenteraan.

Terdahulu beliau menerima tabik hormat daripada kontijen perbarisan diketuai oleh PM Keseluruhan Terbaik iaitu PM Ranfinddy Mail.

Seramai 1,498 PM terdiri daripada 78 berkelulusan diploma pelbagai jurusan, empat berkelulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), 130 kelulusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), 27 Sijil Tinggi Malaysia (STPM), 18 Sijil dan setaraf dan 1,242 PM berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah berjaya menamatkan latihan selama enam bulan bermula 3 Nov 2023.

Selain Anugerah PM Keseluruhan Terbaik, perbarisan pada siri ini menyaksikan seramai empat orang Perajurit Muda menerima Anugerah dan Piala Pusingan yang terdiri daripada Ketenteraan Terbaik disandang oleh PM Musyadie Mamat, Kawad Terbaik PM Muhammad Nurul Ikmal Rosli, Akademi Terbaik PM Mohamad Hamzah Mohd Johan manakala Jasmani Terbaik disandang oleh PM Muhammad Syafiq Mohd Taufek.

Penerima anugerah yang dipilih merupakan PM yang mempamerkan persembahan terbaik sepanjang latihan serta sebagai pengiktirafan di atas pencapaian serta kecemerlangan yang dipamerkan sepanjang latihan ini.

PTD turut mengingatkan kepada setiap PM supaya menghindari sebarang unsur negatif yang boleh menjejaskan kerjaya sebagai seorang anggota tentera dan beliau menegaskan tidak akan berkompromi dengan mereka yang melakukan kesalahan.

“Saya menyeru agar perkara dan perlakuan yang bertentangan dengan perintah syarak, undang-undang sivil mahupun tentera hendaklah dihindari dan dibanteras sama sekali.

“Tentera Darat tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang salah laku yang melibatkan pegawai mahupun anggota yang ingkar,” tegas PTD.

Seterusnya Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Datuk Marzuki Hj Mokhtar mengiringi PTD untuk merasmikan Pelancaran Laman Web E Library di Hangar PUSASDA.

Pembangunan laman web ini bertujuan untuk menyediakan manual doktrin TD secara digital dan boleh diakses oleh pegawai dan anggota melalui internet pada bila-bila masa serta dimana sahaja.

Majlis turut diserikan lagi dengan penyampaian hadiah Esei Panglima Tentera Darat Tahun 2023 dan Sorotan Darat Siri 82 Edisi Jun 2023 sebelum diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh wakil PM serta menandatangani buku lawatan.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Zaidan Atan.

Gambar : LKpl Mohammad Shukri Suhaimi, LKpl Mohammad Fadzil Akirul, LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein dan Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

bonus new member

sicbo online