Bersama PemimpinLawatanSemasa

MRSM Baharu Untuk Anak Warga ATM

JOHOR: Timbalan Perdana Menteri (TPM) 1, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah telah mengumumkan perancangan untuk menubuhkan sebuah lagi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dalam masa terdekat khusus untuk anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai usaha meningkatkan akses pendidikan berkualiti kepada keluarga tentera.

Menurutnya, perbincangan bersama Kementerian Pertahanan sedang giat dijalankan untuk menentukan lokasi yang sesuai bagi penubuhan MRSM tersebut.

“Kita sedang menilai sama ada untuk menggunakan salah satu daripada empat MRSM yang telah dibina tetapi belum beroperasi atau membina institusi baharu.

“Namun, jika pembinaan baharu diperlukan, proses ini mungkin memakan masa lebih panjang,” ujarnya semasa Lawatan Kerja TPM 1 di Kem Mahkota, Kluang pada 19 Sep 2024.

Dalam rangka lawatan ini, TPM 1 diiringi oleh Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin melawat kawasan projek senggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di Taman Kluang Barat untuk melihat sendiri perkembangan penyelenggaraan 27 buah unit RKAT serta beramah mesra bersama penghuninya.

Seterusnya TPM 1 dibawa melihat tapak projek Poliklinik Kesihatan Angkatan Tentera di Kem Mahkota dan melancarkan program Jualan Istimewa MADANI Keluarga Angkatan Tentera (JIMAT) yang bertujuan untuk meringankan beban perbelanjaan harian warga ATM.

Beliau juga mengumumkan bahawa semua pelajar Islam Tingkatan Satu di 57 MRSM seluruh negara kini diwajibkan mengikuti program Ulul Albab yang terbukti meningkatkan pencapaian akademik.

Selain itu, beliau turut menyarankan agar institusi pendidikan pra-sekolah di bawah ATM mempertimbangkan untuk memperkenalkan modul pra-tahfiz seperti yang dilaksanakan di Tabika Kemas.

Beliau menekankan bahawa usaha ini boleh digerakkan melalui kerjasama antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Yayasan Pahang dan Pintar Kebangsaan dengan melibatkan guru-guru agama dari Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) sebagai pendidik.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Timbalan Pengerusi PERNAMA, Datuk Omar Shariff Mydeen.

Gambar: LKpl Mohammad Fadzil Akirul & Pbt Muhamad Amir Hamzah

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

bonus new member

sicbo online