Tag: Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain

  • 2,525 Pewaris Legasi Tentera Darat – PTD

    2,525 Pewaris Legasi Tentera Darat – PTD

    NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua jurulatih dan staf Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) kerana berjaya mentransformasikan anak-anak muda menjadi tunas-tunas pahlawan mengikut acuan yang ditetapkan perkhidmatan.

    “Pusat latihan ini sekali lagi berjaya melahirkan generasi pelapis yang bakal memikul legasi kecemerlangan Tentera Darat (TD) di mana kejituan komitmen mereka jelas terbukti dengan persembahan perbarisan yang begitu memuaskan pada hari ini.

    “Teruskan dedikasi melatih serta mendidik anak-anak watan yang berjiwa kental dan berani mempertahankan kedaulatan tanah air,” tegas PTD.

    PTD berkata demikian dalam ucapannya semasa Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda (PM) Lelaki Siri 193/2021 di Padang Kawad PUSASDA pada 9 Okt 2021.

    Tambah beliau lagi, insan-insan ini terpilih daripada jutaan rakyat Malaysia yang berani menyahut seruan ibu pertiwi untuk mempertahankan kepentingan nusa dan bangsa.

    “Syabas dan tahniah kepada saudara sekalian kerana berjaya menamatkan latihan asas yang menjadi dasar pembentukan jati diri seorang pahlawan demi menggalas amanah untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara tercinta,” katanya.

    Selain itu PTD memaklumkan bahawa TD masih lagi membuka pintu dan mengalu-alukan penyertaan dalam kalangan anak-anak muda Malaysia tanpa mengira bangsa, agama mahupun suku kaum yang berminat menyertai kerjaya mulia ini sekaligus menaburkan khidmat bakti demi tanah air.

    Terdahulu PTD menerima tabik hormat daripada kontijen perbarisan diketuai oleh PM Keseluruhan Terbaik iaitu PM Azrel Ishak yang berasal dari Batu Pahat, Johor dan merupakan anak keenam daripada enam orang adik beradik.

    Perbarisan ini dilaksanakan dalam dua sesi berkonsepkan norma baharu dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang kes penularan COVID-19 di kalangan warga TD.

    Seramai 2,525 PM terdiri daripada 49 PM berkelulusan diploma pelbagai jurusan, tujuh Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, 34 berkelulusan Sijil Tinggi Agama Malaysia, 134 kelulusan Sijil Vokasional Malaysia, 180 Sijil Kemahiran Malaysia dan 2,121 PM berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia telah berjaya menamatkan latihan selama enam bulan bermula 12 Apr 2021 lalu.

    PM yang cemerlang menerima anugerah meliputi beberapa kategori di mana PM Kecergasan Terbaik diberikan kepada PM Patrick Nyaum Jantan, PM Akademik Terbaik disandang oleh PM Muhammad Luqman Fawwaz Salimi manakala PM Kawad Terbaik dianugerahkan kepada PM Mohamad Shamirul Ramza.

    Walaupun tanpa kehadiran ahli keluarga, PTD berpeluang mengucapkan tahniah kepada ibu bapa PM yang menerima anugerah melalui sidang video yang diaturkan.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mardzuki Muhammad dan Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Nazari Abd Hadi.

    Gambar: SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly, LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime, Pbt Mohamad Shukri Suhaimi, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi, Saifun Hakimi Zainon, Riffat Mohd Yusof dan Mohammad Nazif Mohd Zuki.

  • Kunjungan Hormat KPN Kepada PAT

    Kunjungan Hormat KPN Kepada PAT

    KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM menerima Kunjungan Hormat daripada Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani di pejabat beliau pada 7 Okt 2021.

    Sebaik tiba di Dataran Wisma Pertahanan pada jam 0900, KPN menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) yang berkekuatan seramai tiga pegawai dan 103 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Mej Muhd Syahril Japri.

    Selesai acara KKU, beliau diperkenalkan kepada kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) sebelum diiringi ke pejabat PAT.

    Kunjungan ini merupakan Lawatan Ulung Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani sempena beliau mengambil alih jawatan sebagai KPN Ke-13 mulai Mei 2021.

    Sesi lawatan diakhiri dengan KPN menandatangani Buku Lawatan dan saling bertukar cendera kenangan bersama PAT.

    Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal Hj Abdul Samad TUDM.

    Gambar: Saifun Hakimi Zainon dan Riffat Mohd Yusof

     

  • Program MINDEF Prihatin Bantu Warga KEMENTAH

    Program MINDEF Prihatin Bantu Warga KEMENTAH

    KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein merakamkan setinggi – tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee atas kesudian menjalinkan kerjasama bersama Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) bagi menjayakan Program MINDEF Prihatin pada hari ini.

    “Pendekatan kerjasama bersepadu dan merentasi Kementerian seperti ini sememangnya amat penting terutamanya di era pandemik yang serba mencabar ini yang mana kakitangan awam KEMENTAH dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga tidak terkecuali daripada menerima kesannya.

    “Sejak program ini dilaksanakan pelbagai pihak daripada Bank Islam, Bantu-Bantu Malaysia, Koperasi Tentera dan PERNAMA telah tampil untuk menyalurkan sumbangan bakul makanan yang telah berjaya diagihkan kepada 9,000 penerima setakat ini.

    “Kerjasama yang dijalinkan ini amat bermakna kerana ia dapat membantu warga ATM dan MINDEF khususnya yang berada di dalam kategori asnaf serta B40 dan ianya juga dapat membantu usaha MINDEF untuk membela kebajikan anggota, veteran ATM dan warga awam MINDEF khususnya dalam berhadapan situasi COVID – 19,” jelas Menteri Kanan Pertahanan.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Bakul Makanan Hasil Sumbangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di  Padang Kawad Kem KEMENTAH pada 6 Okt 2021.

    Tambah Menteri Kanan Pertahanan, pada hari ini MINDEF lebih bertuah kerana mendapat sumbangan bakul makanan daripada FAMA melalui MAFI yang bakal dimanfaatkan untuk diberikan kepada 1,500 penerima yang terdiri daripada anggota ATM dan warga awam MINDEF.

    Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal Hj Abdul Samad TUDM.

    Gambar: Mohammad Nazif Mohd Zuki

  • Pengoperasian 26 RAMD Dan Pelancaran Buku Op DAULAT

    Pengoperasian 26 RAMD Dan Pelancaran Buku Op DAULAT

    SABAH: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain menjelaskan sebagaimana dalam Tonggak Pertama Perintah Ulung beliau bahawa Tentera Darat (TD) sentiasa meletakkan keutamaan dalam meningkatkan kesiagaan ketumbukan sebagai persediaan menghadapi sebarang bentuk ancaman terhadap keselamatan dan kesejahteraan warganya.

    “Pengoperasian Batalion Ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (26 RAMD) ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan dan menepati keperluan bagi meningkatkan keupayaan pertahanan negara ke tahap yang tertinggi.

    “Oleh itu, jika setiap warga 26 RAMD melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan penuh kesungguhan, saya percaya batalion ini akan mengecapi kejayaan cemerlang serta muncul sebagai pasukan tempur yang unggul, kompeten dan tangkas,” ujar PTD.

    Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa menyempurnakan Perbarisan Pengoperasian 26 RAMD serta Pelancaran Buku Op DAULAT di Tawau pada 5 Okt 2021.

    Buku yang dihasilkan memberi gambaran sebenar peristiwa yang berlaku sewaktu insiden pencerobohan Tentera Kesultanan Sulu serta bagi mengenang jasa bakti dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh semua Pasukan Keselamatan dan agensi kerajaan yang terlibat.

    Di samping itu, buku tersebut turut menceritakan iktibar dan pengajaran yang boleh diambil dalam meningkatkan kefahaman ketika membuat pertimbangan sekiranya insiden sama berulang kembali.

    Menerusi penerbitan Buku Op DAULAT ini, segala jasa dan pengorbanan khususnya mereka yang telah gugur  tidak akan dilupakan dan sentiasa dikenang serta dihargai oleh semua generasi akan datang.

    Terdahulu, PTD menerima tabik hormat daripada kontinjen perbarisan melibatkan seramai 13 pegawai dan 150 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diketuai oleh Pegawai Memerintah 26 RAMD, Lt Kol Mohd Zahirin Zainol Abidin.

    Menyingkap sejarah penubuhan 26 RAMD telah ditubuhkan di Kem Wade Wing, Kuala Lumpur pada 25 Mac 1980 sejajar dengan perkembangan TD dalam menghadapi ancaman pengganas Komunis pada waktu itu.

    Pasukan ini dibubarkan pada 1 Nov 1994 kerana tiada lagi ancaman keganasan yang nyata disebabkan perletakan senjata Parti Komunis Malaya (PKM), namun 26 RAMD ditubuhkan semula dengan penubuhan Tim Nukleus pada 26 Mei 2014 seiring dengan hasrat meningkatkan kesiagaan TD di Eastern Sabah Security Command (ESSCOM).

    Jelas PTD lagi, setelah tujuh tahun penubuhan semula batalion ini, kita berjaya mengisytiharkan pengoperasian 26 RAMD secara rasminya.

    “Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua pihak terlibat dalam menjayakan pengoperasian 26 RAMD dan penghasilan buku Op DAULAT ini,” katanya.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mardzuki Muhammad.

    Gambar: PR TD

  • ATM Teguh Hubungan Antarabangsa

    ATM Teguh Hubungan Antarabangsa

    KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Hishammuddin Tun Hussein merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh pasukan Batalion Malaysia 850-9 (MALBATT 850-9) di atas pengorbanan, komitmen dan perjuangan yang tidak berbelah bahagi.

    “Walaupun dunia masih dilanda pandemik COVID-19, ianya tidak membantutkan hasrat kumpulan pertama MALBATT 850-9 untuk melaksanakan misi di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan penuh bersemangat walaupun terpaksa meninggalkan keluarga tercinta demi tugas dan tanggungjawab sebagai seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    “Penglibatan ATM dalam melaksanakan misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) di bawah panji-panji PBB semenjak tahun 2007 membuktikan pengiktirafan berterusan PBB terhadap ATM sekaligus Malaysia terus diberi kepercayaan dan penghormatan tertinggi di peringkat antarabangsa,” jelas Menteri Kanan Pertahanan.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-9 di Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang pada 30 Sep 2021.

    Kumpulan Pertama MALBATT 850-9 yang diketuai oleh Kol Megat Maz Ardi Nohuddin selaku Komander telah berlepas ke Lubnan pada hari ini bersama 218 pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) bagi menyertai misi pengaman selama setahun.

    Untuk rekod, MALBATT 850-9 berkekuatan seramai 854 anggota ATM termasuk 30 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan seorang pegawai awam Kementerian Pertahanan akan diatur gerakkan ke negara berkenaan secara berfasa.

    Aturgerak pasukan MALBATT 850-9 pada kali ini menampilkan jumlah anggota wanita paling ramai sejak ATM terlibat dalam Misi UNIFIL iaitu seramai 11 pegawai dan 75 anggota LLP dimana mereka akan melaksanakan misi selama setahun berbanding enam bulan secara penggiliran sebelum ini.

    Ini membuktikan keupayaan dan kredibiliti anggota wanita ATM selari dengan keperluan semasa UNIFIL yang sememangnya memerlukan lebih ramai penglibatan anggota wanita bagi melaksanakan tugasan berkaitan kemasyarakatan melibatkan wanita-wanita tempatan.

    Tambah Menteri Kanan Pertahanan, Force Integration Training (FIT) yang telah ditempuhi oleh anggota MALBATT 850-9 di MALBATT Village, Port Dickson pada 28 Jun hingga 20 Ogos 2021 yang lalu amat penting bagi mempersiapkan mental dan fizikal para anggota memandangkan operasi PBB dilaksanakan di negara yang berbeza persekitaran, iklim serta budaya.

    Di akhir ucapan, beliau merakamkan setinggi-tinggi perhargaan dan terima kasih kepada seluruh keluarga MALBATT 850-9 yang telah memberi restu membenarkan suami, isteri, anak, abang atau adik melaksanakan misi di luar negara.

    Terdahulu dari itu, beliau menyempurnakan acara pemakaian beret PBB yang dimulakan dengan pemakaian beret kepada Komander MALBATT 850-9 lalu diteruskan acara serah menyerah bendera Malaysia sebagai simbolik bahawa MALBATT 850-9 siap untuk diatur gerak disaksikan pegawai-pegawai kanan ATM.

    Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • ATM Dan KKM Komited Jayakan PICK Remaja

    ATM Dan KKM Komited Jayakan PICK Remaja

    JOHOR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Hishammuddin Tun Hussein menggesa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengatur gerak lebih banyak Combat Medic Vaccination Team (CMVT) untuk membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi suntikan vaksin kepada orang awam khususnya di kawasan-kawasan pedalaman demi memastikan sasaran 90 peratus segera dicapai.

    “Dalam pada itu, ATM akan memanfaatkan keupayaannya untuk membantu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempercepatkan pemberian vaksin kepada pelajar menjelang sesi persekolahan secara berperingkat tidak lama lagi.

    “Saya meminta ATM khususnya Tentera Darat (TD) memberikan tumpuan khas kepada pelaksanaan program vaksinasi pandu lalu ini agar dilaksanakan mengikut perancangan demi memastikan kesemua 13,800 remaja yang disasarkan selesai menerima dos vaksin lengkap menjelang hujung Okt 2021,” jelas Menteri Kanan Pertahanan.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media yang diadakan semasa tinjauan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja bertempat di Padang Kawad Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (6 RRD), Ulu Tiram pada 25 Sep 2021.

    Program yang dilaksanakan secara Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu itu dikhususkan untuk anak anggota TD, anak penjawat awam Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) dan pelajar yang bersekolah dalam kem tentera berumur di antara 12 hingga 17 tahun.

    Seramai 372 remaja melibatkan 293 anak tentera, 77 anak penjawat awam KEMENTAH, dan dua anak orang awam telah menerima vaksin sepanjang hari ini.

    Terdahulu Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain mengiringi Menteri Kanan Pertahanan mendengar Taklimat Pelaksanaan Serta Konsep Operasi PPV Pandu Lalu yang disampaikan oleh Pemangku Panglima Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd), Kol Asri Shukor.

    Pelaksanaan program peringkat TD ini telah bermula secara serentak di 31 lokasi PPV di dalam kem-kem tentera TD bermula pada 23 Sep 2021 yang lalu.

    Aktiviti ini bertetapan dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga yang menitikberatkan aspek kesihatan dan kesejahteraan kendiri anggota selain dapat mengekang penularan wabak COVID-19.

    Turut hadir, Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • Demonstrasi Hari ATM Berkelas Dunia – PAT

    Demonstrasi Hari ATM Berkelas Dunia – PAT

    NEGERI SEMBILAN: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM menzahirkan rasa bangga dan syabas atas pertunjukkan demonstrasi dinamik yang berkelas dunia.

    “Saya mengucapkan syabas kepada semua yang terlibat dalam menjayakan pertunjukkan yang menggerunkan dan sekarang kamu semua sudah bersedia untuk pertunjukkan berkelas dunia,” jelas PAT ketika berucap semasa sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-88 di Padang Kawad Kem Segenting pada 22 Sep 2021.

    Tambah PAT lagi, pertunjukkan yang dipamerkan membuktikan bahawa kesiagaan ATM sentiasa berada di tahap yang tertinggi sepanjang masa.

    “Suka saya kongsikan perancangan masa hadapan ATM yang sedang diusahakan melalui dokumen Strategi Ketenteraan Negara (SKN) 2.0 yang kini berada di peringkat akhir penambahbaikannya.

    “SKN 2.0 memberi tumpuan kepada reformasi Angkatan Masa Hadapan melalui ciri-ciri yang meliputi kebersamaan, kebolehoperasian, berasaskan teknologi, keupayaan untuk beroperasi serentak dalam dua wilayah dan berorientasikan misi,” ujarnya.

    Tegas beliau lagi, dalam kesungguhan mencapai Angkatan Masa Hadapan perlu diingatkan bahawa perancangan, pembangunan dan perolehan pertahanan hendaklah dilaksana secara menyeluruh kerana kegagalannya akan memerangkap ATM ke arah menjadi sebuah Angkatan yang lompong.

    PAT menyeru semua Panglima Perkhidmatan dan seluruh warga ATM untuk bersama beliau bersedia membuat anjakan paradigma untuk menerima dan mengaplikasikan strategi ketenteraan negara ini kerana sudah tiba masanya ATM membina kembali keupayaan angkatannya bagi mendepani cabaran utama keselamatan dan kedaulatan negara.

    “Pada masa sama, ATM melalui Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) sedang mengusahakan inisiatif bagi memperkasakan para isteri dan keluarga melalui Program Transformasi Digital BAKAT atau e-BAKAT, dimana para isteri berpeluang meningkatkan kemahiran keusahawanan secara digital yang mana sedikit sebanyak dapat menjana pendapatan tambahan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup keluarga.

    “Kepada mereka yang bakal menamatkan perkhidmatan pula, beberapa inisiatif telah diwujudkan dengan kerjasama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) antaranya Program Recognition of Prior Experiental Learning (RPEL), Program Kerjaya Kedua, penganjuran kursus-kursus peralihan dan kemahiran yang melayakkan mereka memperolehi sijil yang diiktiraf oleh sektor awam dan swasta,” jelas PAT.

    Terdahulu PAT menerima tabik hormat daripada kontinjen perbarisan yang diketuai oleh Kol Mohd Rosli Abu Bakar melibatkan seramai 40 pegawai dan 682 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) ATM yang berkonsepkan perbarisan statik tempur dengan penglibatan lapan detasmen.

    Keseluruhan penglibatan pegawai dan anggota dalam menjayakan sambutan Hari ATM pada tahun ini adalah seramai 2,500 anggota dan Pelaksanaan Latihan Kesiagaan memperlihatkan aset serta kompetensi ATM melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat (TD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), secara tidak langsung mempamerkan kredebiliti ATM dalam menggalas tugas utama bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan sentiasa terpelihara.

    Sambutan Hari ATM pada tahun ini bertemakan ‘Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’ dilaksanakan dengan dua segmen iaitu segmen demonstrasi dinamik dan segmen perbarisan mengikut pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang terkawal tanpa kehadiran penonton.

    Seterusnya Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain selaku Penaung Jawatankuasa Penganjur mengiringi PAT untuk penyampaian Anugerah Kesiagaan PAT Tahun 2021 yang merupakan anugerah tertinggi dalam ATM, dimana anugerah bagi kategori Formasi atau Bgd terbaik TD dimenangi oleh Panglima 10 Bgd (Para), Brig Jen Khairul Azmizal Ahmad Natal, bagi kategori Pasukan terbaik TLDM dianugerahkan kepada Pegawai Memerintah KD Lekir, Komander Asri Dasman TLDM dan kategori Pangkalan Udara terbaik TUDM berjaya disandang oleh Komander Pangkalan Udara Kuantan, Brig Jen Zulkiffli Hj Musa TUDM.

    Walaupun tahun 2021 merupakan tahun kedua ATM berhadapan dengan cabaran dalam menggalas tugas sekundernya bagi membantu negara mengekang penularan pandemik COVID-19, namun situasi ini tidak menjadi penghalang untuk ATM terus memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

    ATM sebagai benteng utama pertahanan negara akan terus komited untuk mendokong misi dan wawasan negara bagi menentukan keamanan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Asghar Khan Goriman Khan TUDM dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Abdul Rahman Hj Ayob TLDM.

    Gambar: SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly, LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime, Pbt Mohamad Shukri Suhaimi, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi dan Saifun Hakimi Zainon

  • TD Komited Kebajikan Warga 21 GGK

    TD Komited Kebajikan Warga 21 GGK

    JOHOR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain melakukan Lawatan Kebajikan ke atas keluarga anggota 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) yang mengalami penyakit kritikal bertempat di Dewan Hafiz, Mersing pada 6 Sep 2021.

    Seramai tujuh waris anggota disantuni PTD dimulai dengan anak kepada Sjn Nazzatul Putri Marina Kamsani dari pasukan Markas 21 GGK iaitu adik Putri Aaira Sofia berusia sembilan bulan disahkan menghidap penyakit Ventricular Septal Defect (VSD) oleh Pakar Jantung, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

    Lawatan Kebajikan diteruskan ke atas isteri kepada Sjn Rohaizad Mat Jamil dari pasukan Kor Perkhidmatan Diraja (KPD) MK Garison iaitu Siti Najiha Mohamad Kusaini yang mengalami Ovarian Cysts dan kini menjalani pemeriksaan serta rawatan susulan secara berkala di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

    Seterusnya PTD menyantuni anak kepada Kpl Mohd Shawal Awang yang berkhidmat di Rejimen 22 Komando (Rej 22 Kdo) iaitu adik Nur Arissa Sofea berumur lapan tahun yang mengalami jantung berlubang di mana beliau kini perlu menjalani pemeriksaan dan rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu.

    Kemudian, lawatan dibuat ke atas anak kepada Kpl Risman Basri dari Rej 22 Kdo, iaitu adik Muhammad Faris Ammar berumur enam tahun yang disahkan mengalami Autisme oleh Pakar Perubatan Hospital Sultan Ismail, Johor.

    PTD seterusnya menyantuni anak kepada Kpl Mior Shahril Bashah dari Skuadron Semboyan Gerak Khas (21 SS GK) iaitu adik Muhammad Adel Safiy berumur tujuh tahun yang menghidap penyakit Autisme dan perlu menjalani rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru dan Klinik Mersing Kanan, Mersing.

    Selain itu, PTD turut meluangkan masa bersama anak kepada Sjn Izwan Zulkifli dari 21 SS GK yang menghidapi sindrom Autisme dan perlu menjalani rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru dan Klinik Mersing Kanan, Mersing.

    PTD mengakhiri Lawatan Kebajikan dengan menyantuni isteri kepada Kpl James Dindang Danggat dari 21 Kumpulan Logistik GGK iaitu Pauline Christina yang disahkan menghidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) dan kini menjalani rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

    Dalam lawatan ini, PTD turut menyempurnakan pemakaian pangkat Sjn kepada Kpl Risman Basri dan Kpl James Dindang Danggat.

    Setiap waris yang disantuni menerima sumbangan berbentuk hamper, sumbangan peribadi dan sumbangan dari Tabung Kebajikan Tentera Darat bagi meringankan beban yang ditanggung.

    Lawatan ini dilaksanakan secara ringkas serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan.

    Turut hadir, Panglima 21 GGK, Mej Jen Nubli Hj Hashim dan Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Mej Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • Mej Jen Nubli Hj Hashim Panglima 21 GGK Baharu

    Mej Jen Nubli Hj Hashim Panglima 21 GGK Baharu

    JOHOR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain telah menyempurnakan pemakaian pangkat Mej Jen kepada Brig Jen Nubli Hj Hashim bertempat di Markas 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) pada 6 Sep 2021.

    Majlis kemudian disusuli dengan acara Serah Terima Tugas dan Penyerahan Tongkat Kuasa Panglima 21 GGK di antara Mej Jen Datuk Jamaluddin Jambi yang menyerahkan tugas kepada Mej Jen Nubli Hj Hashim sebagai Panglima 21 GGK Ke-15 yang baharu dan disaksikan oleh PTD.

    Dalam ucapan PTD, beliau merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Mej Jen Datuk Jamaluddin Jambi di atas segala sumbangan dan jasa bakti yang telah dicurahkan di sepanjang tempoh perkhidmatannya kepada Tentera Darat (TD) amnya dan GGK khasnya.

    Selain itu, PTD turut mengucapkan tahniah kepada Panglima 21 GGK yang baharu, Mej Jen Nubli Hj Hashim yang telah dinaikkan pangkat.

    Mengimbas keperibadian mantan Panglima 21 GGK, Mej Jen Datuk Jamaluddin Jambi dilahirkan pada 21 Apr 1962 di Merlimau, Melaka dan menjalani latihan sebagai Pegawai Kadet di Sekolah Pegawai Kadet (SPK), Kem Sebatang Karah, Port Dickson pada 1 Jul 1980 serta ditauliahkan sebagai Lt Muda pada 11 Apr 1981.

    Sepanjang perjalanan kerjayanya, beliau telah menyandang pelbagai jawatan penting antaranya Pemerhati di United Nations Mission for the Referendum in Western Sahara (MINURSO), Pegawai Memerintah Rejimen 11 Gerakhas (11 RGK), Ketua Staf MK 21 GGK dan Komander Malaysian Contingent (MALCON) West 2 di bawah misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL).

    Beliau juga pernah menjawat jawatan Ketua Jurulatih Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Komandan PULPAK, Ketua Penempatan Tim Pemantau Antarabangsa – Mindanao 9 (TPA-M9), Komandan Pusat Pengaman Malaysia, Panglima Briged Ke-31 Infantri Malaysia (31 Bgd) dan Ketua Staf Am Markas 21 GGK.

    Mej Jen Datuk Jamaluddin Jambi akan menamatkan perkhidmatan pada 20 Apr 2022 setelah 41 tahun sembilan bulan menabur bakti di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan jawatan terakhirnya sebagai Panglima 21 GGK Ke-14 bermula pada 20 Jul 2020.

    Turut hadir, Asisten Ketua Staf (AKS) Sumber Manusia, Mej Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan pegawai kanan MK 21 GGK.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • NGO Hargai Pengorbanan Veteran ATM

    NGO Hargai Pengorbanan Veteran ATM

    SELANGOR: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Pengasas The Mines Resort and Country Heights Holdings, Tan Sri Lee Kim Yew menerusi Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan Bantu-Bantu Malaysia diatas sumbangan 10,000 kotak bekalan makanan kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

    “Kementerian Pertahanan amat berbesar hati dengan kerjasama yang dizahirkan oleh Tan Sri Lee Kim Yew serta turut mengalu-alukan kerjasama dan sumbangan daripada badan korporat yang lain, Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO), pihak swasta, individu dan lain-lain yang ingin menyumbang.

    “Pengagihan sumbangan kotak makanan kepada golongan Veteran ATM dan keluarga yang terkesan ke lokasi diseluruh negara akan dilakukan oleh pejabat Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) cawangan negeri dengan kerjasama pihak Persatuan-persatuan Veteran ATM, NGO dan komuniti setempat.

    “Bantuan bekalan makanan menerusi Inisiatif Gerobok Rezeki Veteran ATM akan memberi manfaat kepada 10,000 keluarga Veteran ATM dan balu Veteran ATM yang terjejas pendapatan kesan pandemik COVID-19,” jelas PAT.

    Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Perasmian Penyerahan Kotak Makanan Program Bantu-Bantu Malaysia kepada Kementerian Pertahanan sempena Inisiatif Gerobok Rezeki Veteran ATM Tahun 2021 di Seri Kembangan pada 27 Ogos 2021.

    Inisiatif Gerobok Rezeki ATM merupakan kesinambungan daripada Program MINDEF PRIHATIN yang dilancarkan pada 19 Jul 2021 dimana Kementerian Pertahanan sentiasa prihatin serta meletakkan keutamaan terhadap kebajikan dan kesejahteraan Veteran ATM dalam membantu meringankan beban warga pertahanan termasuk Veteran ATM dan keluarga mereka yang terjejas.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz dan Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain.