Tag: Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan
-

CIMIC 2025 Tawan Hati Warga Tawau
SABAH: Lebih 15,000 penduduk setempat membanjiri Kompleks Sukan Tawau bagi memeriahkan Karnival Civil-Military Cooperation (CIMIC) 2025 anjuran Kementerian Pertahanan yang berlangsung pada 28 hingga 29 Jun 2025.Karnival ini merupakan inisiatif strategik untuk memperkukuh hubungan erat antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan masyarakat setempat menerusi pendekatan pertahanan menyeluruh.Sorakan gemuruh ribuan pengunjung bergema sebaik sahaja acara dimulakan dengan pertunjukan penerjunan bebas daripada elemen pasukan khas ATM dan Pasukan Aturgerak Cepat.Pelbagai acara menarik turut dipersembahkan termasuk demonstrasi Tempur Tanpa Senjata, Pertunjukan Anjing Perang, Kawad Senyap Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), persembahan brass band dan drumline serta pameran aset ketenteraan yang memberi peluang kepada rakyat untuk melihat lebih dekat keupayaan ATM.Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa ATM bukan sekadar sebuah entiti pertahanan, malah turut berperanan aktif dalam memperkukuh kesejahteraan dan keharmonian masyarakat.“Karnival ini membuktikan bahawa ATM bukan sahaja bersedia dari aspek pertahanan, tetapi juga prihatin terhadap kesejahteraan rakyat dan pembangunan komuniti,” ujar beliau dalam sidang media selepas menyempurnakan perasmian karnival pada 29 Jun 2025.Beliau turut menekankan bahawa pendekatan pertahanan menyeluruh memerlukan penglibatan aktif seluruh lapisan rakyat demi menjamin kelangsungan keselamatan dan kedaulatan negara.Sebagai tanda penghargaan, MENHAN turut menyampaikan sumbangan Kotak Rezeki kepada komuniti setempat serta menyempurnakan cabutan bertuah kepada para pengunjung yang hadir.Beliau kemudiannya meluangkan masa melawat tapak pameran yang menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta sekali gus mempamerkan sinergi antara pertahanan dan pembangunan negara.Terdahulu, MENHAN diiringi Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Muhammad Hafizuddeain Jantan telah menyempurnakan perasmian Masjid Al-Ikhlas di Kampung Pasir Putih Asli yang telah dibaik pulih oleh anggota Skuadron Kelima Rejimen Askar Jurutera Diraja (5 Skn RAJD) melalui Program Jiwa Murni (PJM) sejak 16 Jun lalu.Masjid berkenaan telah menjalani proses pembaikan menyeluruh meliputi kerja mengecat semula, pemasangan awning, baik pulih tandas serta sistem elektrik demi keselesaan jemaah dan penduduk setempat.Sempena program tersebut, MENHAN turut menyampaikan sumbangan Kotak Rezeki kepada golongan yang memerlukan sebagai simbol keprihatinan.Penganjuran program seumpama ini jelas membuktikan komitmen berterusan Kementerian Pertahanan dalam menjayakan konsep ‘Tentera dan Rakyat Berpisah Tiada’, di samping memperkukuh keyakinan rakyat terhadap ATM sebagai pelindung negara dan rakan strategik dalam pembangunan komuniti.Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali serta pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan ATM.Gambar: LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husien & LKpl Muhammad Nor Akram bin Halib -

Henti Muat Naik Kandungan Sensitif ATM di Media Sosial – YDP Agong
KUALA LUMPUR: Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda (SPB) Yang di-Pertuan (YDP) Agong, Sultan Ibrahim bertitah menegur penggunaan media sosial dalam kalangan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta menzahirkan kebimbangan terhadap perkongsian maklumat berkaitan organisasi itu dan menitahkan agar amalan tersebut dihentikan serta-merta.Dalam titah baginda, Seri Paduka menekankan bahawa konflik semasa antara Iran dan Israel membuktikan bagaimana maklumat daripada aplikasi pintar, media sosial dan syarikat teknologi awam boleh dimanfaatkan pihak musuh untuk melancarkan serangan.“Janganlah memuat naik semua perkara termasuk maklumat organisasi, penempatan pasukan, lokasi gerakan dan sebarang maklumat sensitif mengenai ATM.“Saya mahu perkara ini dihentikan serta-merta. Gunakan akal fikiran dan elakkan daripada mendedahkan perkara yang tidak sepatutnya untuk tontonan umum. Lebih baik kita beringat sebelum menyesal di kemudian hari,” titah baginda.Titah tersebut disampaikan sempena Istiadat Perbarisan dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM yang berlangsung di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi pada 28 Jun 2025.Terdahulu, SPB YDP Agong disambut oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Hj Mohd Nizam Hj Jaffar.Baginda turut menerima tabik hormat serta memeriksa kontinjen perbarisan melibatkan lapan detasmen dengan kekuatan seramai 509 Pegawai Kadet ATM, diiringi gabungan Pancaragam Pusat TLDM dan TUDM.Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pedang Kehormat dan Piala Khas kepada tujuh Pegawai Kadet Terbaik daripada Akademi Latihan Ketenteraan (ALK-UPNM), Akademi Tentera Darat (ATD), Kapal Diraja Sultan Idris Pertama (KDSI 1) dan Kolej Tentera Udara (KTU).Perbarisan diakhiri dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali sebelum YDP Agong berangkat meninggalkan istiadat, diikuti dengan penyempurnaan pengurniaan watikah tauliah di Dewan Tun Templer.Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri (Dr) Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Hj Muhammad Norazlan Aris TUDM.Gambar: LKpl Syfiqrullah Mazlan -

MALBATT 850-11 Siap Diatur Gerak
KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan (MENHAN), Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hasan menyempurnakan Majlis Pemakaian Beret Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Penyerahan Bendera Malaysia serta Penghantaran Kumpulan Pertama Malaysian Battalion (MALBATT) 850-11 bertempat di Pangkalan Udara Subang pada 2 Nov 2023.
Terdahulu, ketibaan MENHAN disambut oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Ab Rahman sebelum diteruskan dengan acara Pemakaian Beret PBB dan Penyerahan Bendera Malaysia.
MALBATT 850-11 telah menjalani latihan khusus selama tiga bulan yang merangkumi sebulan latihan perkhidmatan tunggal dan dua bulan latihan integrasi atau Force Integration Training (FIT) di bawah kawal selia Markas Angkatan Bersama (MAB) bertempat di MALBATT Village, Port Dickson, Negeri Sembilan dan telah bersedia untuk diaturgerakkan ke Lubnan bagi menggantikan MALBATT 850-10 yang akan menamatkan misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) setelah berkhidmat 12 bulan.
MALBATT 850-11 yang akan diatur gerak dalam empat peringkat menampilkan kekuatan seramai 854 orang terdiri daripada 82 pegawai dan 772 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk seorang pegawai awam dari Kementerian Pertahanan bagi meneruskan Misi UNIFIL di bawah kawalan operasi Markas Sektor Barat UNIFIL di Kem Ma’rakah dan Kem Tibnin.
Seramai 30 pegawai dan anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) akan turut menyertai MALBATT 850-11.
Perbarisan Kumpulan Pertama MALBATT 850-11 ini dianggotai oleh 49 pegawai dan 168 anggota LLP diketuai oleh Komander MALBATT 850-11, Kol Burhan Sagoni.
Dalam ucapan MENHAN, beliau menegaskan agar seluruh warga MALBATT mengekalkan mutu disiplin yang tinggi bagi memastikan pengiktirafan ini terus terpelihara demi memartabatkan lagi maruah negara dan ATM di persada antarabangsa.
“Seperti sedia maklum, penugasan kali ini dilihat lebih mencabar ekoran konflik Israel-Gaza yang telah tercetus sejak 7 Okt 2023 yang lalu.
“Sehingga kini, konflik ini dilihat semakin tegang dan meluas di antara kedua-dua belah pihak
yang mengakibatkan ribuan nyawa terkorban dan kemusnahan harta benda akibat serangan roket, artileri, mortar dan pesawat udara.“Konflik bergolak ini secara langsung turut memberi kesan kepada situasi keselamatan di selatan Lubnan dan ianya akan tentunya menyukarkan pengoperasian kontinjen MALBATT 850-10 serta MALBATT 850-11 sekiranya konflik ini berpanjangan.
“Namun, alhamdulillah, kontinjen MALBATT 850-10 masih berada dalam keadaan baik dan selamat dan saya berharap saudara-saudari dalam Kontinjen MALBATT 850-11 agar
sentiasa berwaspada serta bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan apabila menggantikan MALBATT 850-10,” pesan MENHAN.Turut hadir, Pemangku Pesuruhajaya Tinggi Negara Brunei Darussalam, Yang Mulia Tuan Mohd Aizul Hakim Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Hj Suyoi, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Seri Isham Ishak, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Panglima Angkatan Bersama, Lt Jen Dato Nor Mohamad Akmar Mohd Dom TUDM dan Pegawai-pegawai Kanan ATM.
Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi
-

LKT 2022 Uji Kesiagaan Sistem Persenjataan ATM
NEGERI SEMBILAN: Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2022 merupakan pendekatan yang selari dengan perancangan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Pelan Strategik MINDEF 2022 serta Kertas Putih Pertahanan iaitu memastikan kesiagaan ATM terus berada pada tahap tertinggi demi mempertahankan kedaulatan negara.
Ia merupakan salah satu daripada pelbagai usaha berterusan yang MINDEF dan ATM laksanakan khususnya sejak beberapa bulan lalu bagi memastikan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM terus dilengkapi aset-aset yang diperlukan biarpun mendepani era pasca pandemik yang serba mencabar.
Terdahulu, ketibaan Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein disambut oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain selaku penganjur LKT 2022 bertempat di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin, Gemas pada 21 Jun 2022.
Menteri Kanan Pertahanan berkata dalam isu Helikopter MD 530G, proses perolehan dapat diselesaikan dan ia juga telah diterima oleh end user iaitu Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) di mana dapat disaksikan serta diuji keupayaannya dalam LKT tahun ini.
“LKT ini berupaya mempamerkan atur gerak dan keupayaan combat team dalam ketumbukan combined arms melalui maneuver dan kuasa tembakan secara segmen dinamik bagi memperagakan keberkesanan sistem persenjataan ATM dalam senario pertempuran masa kini di samping memberi pendedahan kepada para penuntut Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia (KPSM) dari Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT),” jelasnya.
Seramai 2,300 pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terlibat dalam LKT 2022 dan turut memperagakan 644 buah aset serta persenjataan melibatkan PT91M PENDEKAR, AV8 GEMPITA, AV4 LIPAN BARA, ACV 300 ADNAN dan Malaysian Infantry Fighting Vehicle (MIFV), manakala kuasa tembakan menggunakan persenjataan berkaliber kecil dan besar seperti Unit Lancar Berganda (ULB) ASTROS II, Meriam 155mm G5 MK III, Meriam 105mm PH L5, Anti-Tank Guided Missile (ATGM) INGWE, BAKTAR SHIKAN, Mortar 120mm dan 81mm serta Rocket-Propelled Grenade (RPG-7 40mm).
Selain itu, latihan tembakan turut melibatkan persenjataan peringkat kompeni iaitu Colt M4, Minimi, GPMG, RPG-7 dan Mortar 60 MM, senjata batalion terdiri daripada Heavy Machine Gun (HMG) dan Automatic Grenade Launcher (AGL), manakala pesawat terlibat adalah Helikopter MD 530G dan Agusta A109 LOH dari PUTD, Eurocopter EC-725 CARACAL dari TUDM, Helikopter Super Lynx dan AS555 Fennec dari TLDM.
Helikopter MD 530G yang dikendalikan oleh 883 Skuadron PUTD merupakan aset baharu Tentera Darat (TD) turut mempamerkan keupayaannya buat pertama kali dengan melakukan serangan menggunakan M134D Gattling Gun dan FN Herstal 12.7mm Heavy Machine Gun Pod.
Di samping itu, dalam segmen tembakan tidak langsung, keupayaan Tactical Display Air Support (CAS) bagi pesawat TUDM dalam latihan ini telah dipertontonkan yang mana melibatkan aset-aset pesawat pejuang iaitu FA 18 D Hornet dan BAE Hawk 208.
Pelaksanaan latihan ini adalah selari dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Kelangsungan Misi dan Kesiagaan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM.
Gambar: Kapt Mursyideen Ahmad Iskandar Shah, SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly, Pbt Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi, Saifun Hakimi Zainon dan Riffat Mohd Yusof.
-

Jasa Dan Pengorbanan Para Perajurit ATM Dihargai – Menteri Kanan Pertahanan
KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan bahawa sesebuah organisasi tentera yang memiliki aset yang canggih, latihan yang mantap, strategi yang ampuh, tidak akan pernah lengkap tanpa moral anggota yang tinggi.
“Dan bagi memelihara moral ini, kebajikanlah jawapannya.
“Majlis ini menjadi satu platform untuk kita mengenang jasa dan pengorbanan para perajurit Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak kiralah yang berceloreng hijau, putih mahupun biru, sama ada di dalam hutan belantara, samudera mahupun ruang udara, saya sedar bahawa khidmat bakti setiap anggota amat besar dan penting kepada tanah air.
“Kerana itulah setiap kali meraikan bulan Ramadan di Kementerian Pertahanan, majlis seumpama ini merupakan salah satu majlis yang saya nanti-nantikan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Kepada ATM Tahun 2022 bertempat di Auditorium Wisma Pertahanan pada 14 Apr 2022.
Tambahnya lagi, kurang dari tiga minggu umat Islam bakal meraikan 1 Syawal dan akan berkumpul dengan ahli keluarga, bertakbir, solat sunat Aidilfitri, bermaafan serta menikmati juadah raya bersama-sama dan ia merupakan saat yang sangat berharga.
“Akan tetapi, kita juga perlu sedar bahawa ada segelintir yang tidak berpeluang merasainya di mana mereka juga sama seperti kita semua mempunyai suami dan isteri, anak-anak serta ibu bapa yang dicintai.
“Ketiadaan mereka bersama keluarga pada 1 Syawal demi memastikan kita semua yang berada di rumah, dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga dalam suasana yang aman dan tenteram,” ujar Menteri Kanan Pertahanan.
Selain itu, beliau juga mengumumkan beberapa perkara penting yang berkait rapat dengan soal kebajikan warga ATM seperti inisiatif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang bersetuju untuk memperkenalkan dua kemudahan pengeluaran baharu iaitu pengeluaran haji dan pengeluaran pendidikan yang mana kedua-dua pengeluaran ini dibenarkan sekali sepanjang tempoh perkhidmatan setiap ahli yang berkuatkuasa mulai 15 Apr 2022.
Tambahan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut mengesahkan bahawa inisiatif terbaharu Faedah Gantian Cuti Rehat (FGCR) yang diberikan kepada penjawat awam turut akan dipanjangkan kepada anggota ATM.
Anggota ATM yang berumur 45 tahun yang bakal menamatkan perkhidmatan bukan sahaja bakal menikmati FGCR yang telah dinaikkan daripada maksimun 150 hari kepada 160 hari, bahkan anggota terbabit juga dibenarkan menikmati bayaran pendahuluan yang bersamaan dengan 80 hari cuti tanpa perlu menunggu sehingga benar-benar tamat perkhidmatan, kemudian bakinya akan dibayar selepas tamat perkhidmatan.
“Makluman awal bahawa sedikit masa lagi Ministry of Defence (MINDEF) akan mengumumkan perancangan baharu dalam usaha menambahbaik aspek pendidikan anak-anak warga ATM di seluruh negara secara holistic, merangkumi penambahbaikan infrastruktur di 38 buah sekolah dalam kem ATM, pusat-pusat tuisyen, biasiswa dan beberapa lagi inisiatif lain.
“Bagi veteran ATM pula, selain daripada pembayaran Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM250 seperti Perdana Menteri umumkan baru-baru ini, saya juga ambil maklum bahawa ramai veteran ATM yang komen di media sosial saya mengenai Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah RM350 yang diumum semasa pembentangan Bajet 2022 tempoh hari belum diterima dan saya telah mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) agar mempercepatkan proses pengagihan tersebut.
“Saya juga amat berterima kasih kepada 77 penyumbang yang menghulurkan sumbangan hari raya dalam pelbagai bentuk kepada para anggota ATM khususnya yang bertugas semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
Daripada 77 penyumbang, sebanyak 11 penyumbang telah membuat sumbangan berbentuk barangan, manakala 66 penyumbang lagi membuat sumbangan berbentuk kewangan dan lebih bermakna, jumlah sumbangan barangan serta kewangan yang terkumpul kini berjumlah RM1,881,180 yang mana nilainya lebih besar daripada tahun lalu.
Tahun ini sebanyak 15,000 beg Hari Raya akan diagihkan kepada anggota yang bertugas di perbatasan sama ada di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan juga di luar negara di bawah misi Panji-Panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta di Mindanao, Selatan Filipina di bawah International Monitoring Team (IMT).
Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul
-

Generasi Budak Boy Bakal Terajui Kepimpinan Negara
KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM percaya bahawa para Putera Tingkatan Lima dapat meneruskan ikrar Berkhidmat Memimpin serta mentaati Piagam Maktab Tentera Diraja (MTD) yang bukan sahaja menjadi pegangan, malah harus dikotakan selagi nyawa dikandung badan.
“Keperibadian mereka diperkukuhkan dengan interaksi hidup merangkumi pelbagai agama, bangsa dan kaum sepanjang tempoh pembelajaran di maktab ini yang merupakan ertikata sebenar terhadap konsep Keluarga Malaysia.
“Walaupun kehadiran COVID-19 banyak menghadkan pelaksanaan aktiviti pembelajaran dan pembinaan perwatakan para Putera, namun secara tidak langsung ianya dapat membina daya tahan yang sangat tinggi buat mereka semua,” jelasnya.
PAT berkata demikian semasa menyempurnakan acara Perbarisan Tahunan Putera MTD Tahun 2021 bertempat di Padang Kawad MTD pada 2 Apr 2022.
Tambahnya lagi, beliau turut berpesan kepada para Putera agar membuat pilihan dengan bijak sama ada mahu melanjutkan pelajaran atau terus menceburi bidang yang diidamkan kerana ianya merupakan kelangsungan perjalanan karier pada masa hadapan.
“Secara peribadi, kehadiran saya pada hari ini boleh dianggap sebagai sentimental journey yang telah banyak mengubah perwatakan, wawasan serta hala tuju hidup saya sejak menyertai Maktab ini pada tahun 1978.
“Semoga MTD terus kekal unggul dan namanya terukir sebagai sebuah institusi yang dipercayai dan berjaya melahirkan para pemimpin negara dalam semua sektor, lapangan dan bidang pada masa akan datang,” jelas PAT.
Buktinya, MTD sejak penubuhannya 70 tahun lalu telah melahirkan ramai Putera yang berjaya seperti ada sebahagian besar daripada mereka sedang menjawat jawatan tertinggi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Perkhidmatan Awam termasuklah di dunia korporat.
Perbarisan pada kali ini berkekuatan seramai 480 Putera yang terdiri daripada 223 Putera Tingkatan Lima dan 257 Putera Tingkatan Empat diketuai Pegawai Rendah Kanan (PRK), Mohd Jasim Abdul Aziz.
Dalam perbarisan ini, PAT turut menyampaikan hadiah kepada Putera MTD mengikut kategori, antaranya adalah Anugerah Menteri Pertahanan disandang oleh PRK Mohd Jasim Abdul Aziz, Anugerah Komandan disandang oleh PRK Qarin Loqman Safriza, Anugerah Pengarah Pengajian disandang oleh Pegawai Rendah Muda (PRM), Nu’man Hadif Ahmad Aezuddin dan Anugerah Piala Kompeni Komandan dimenangi oleh Kompeni Golf.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Indera Hj Mohammad Salleh Hj Osman TUDM.
Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi
-

Pasca DSA dan NATSEC Asia 2022: Pengharapan Baharu Pertahanan dan Keselamatan Negara
KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan bahawa hasil penganjuran Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia 2022 yang merupakan pameran pertahanan dan keselamatan terkemuka dunia menyaksikan majlis menandatangani kontrak, Letters of Acceptance (LOA), Letters of Intent (LOI) dan Memoranda of Understanding (MoU), bernilai lebih dari RM 6 billion, sekaligus memperkukuhkan lagi kerjasama serantau antara negara ASEAN dengan industri pertahanan dan keselamatan global.
Meskipun pameran tersebut tidak dibuka untuk orang ramai, terdapat seramai 33,147 orang rakan dagangan, 350 delegasi luar negara serta lebih 1,000 syarikat dan 20 pavilion antarabangsa telah menyertai pameran ini.
“Selain itu, perjumpaan bilateral yang diadakan bersama Kementerian Pertahanan lima negara iaitu Indonesia, Filipina, Singapura, Brunei dan Maldives turut memberikan impak yang positif antaranya membincangkan isu persempadanan negara, usaha untuk membangunkan industri pertahanan, kerjasama pertahanan melalui latihan bersama dan isu-isu yang melibatkan kepentingan bersama.
“Malaysia, Indonesia dan Filipina secara dasarnya bersetuju agar Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) perlu dikembangkan menjadi perjanjian kuartet dengan pembabitan Brunei di mana negara berkenaan sedang menunggu perkenan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah untuk merealisasikan hasrat berkenaan.
“Seterusnya, mesyuarat bilateral bersama Indonesia semasa DSA dan NATSEC 2022 membawa kepada persetujuan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia-Indonesia (MALINDO) pada Julai ini berhubung isu pos kawalan bersepadu,” jelasnya.
Menteri Kanan Pertahanan berucap ketika menyempurnakan Majlis Penghargaan dan Pengumuman DSA dan NATSEC Asia 2024 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) pada 31 Mac 2022.
Tambah beliau lagi, DSA dan NATSEC Asia 2024 akan diadakan dalam masa dua tahun lagi dan dijadualkan bermula pada 6 hingga 9 Mei 2024.
Melalui penganjuran pameran ini, Menteri Kanan Pertahanan menyatakan menerima maklum balas positif daripada delegasi luar negara serta syarikat yang menyertai pameran antarabangsa ini.
Terdahulu, ketibaan Menteri Kanan Pertahanan disambut oleh Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM dan Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain.
Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Hj Abdullah Sani, Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM.
Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime, Pbt Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Mohammad Shukri Suhaimi dan Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi
-

Warga Kementerian Pertahanan Terima MENHAN Baharu
KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein secara rasmi memulakan tugas selaku pucuk pimpinan Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) pada 1 Sep 2021.
Sebaik tiba di Dataran Wisma Pertahanan pada jam 0900, Menteri Kanan Pertahanan disambut oleh Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang turut memulakan tugas sebagai Timbalan Menteri Pertahanan pada 1 Sep 2021.
Beliau seterusnya menerima tabik hormat dari Kawalan Kehormatan Utama (KKU) Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) yang berkekuatan seramai tiga pegawai dan 61 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Mej Abdul Hafizi Abdul Halim.
Selesai acara KKU, beliau diperkenalkan kepada kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan KEMENTAH sebelum melangkah masuk ke pejabatnya.
Terdahulu, pelantikan tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri pada 27 Ogos 2021 yang lalu, disusuli dengan Istiadat Angkat Sumpah dan Jawatan yang disempurnakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 21.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Muez Abdul Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany TLDM dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal Hj Abdul Samad TUDM.
Gambar: SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly, LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime dan Saifun Hakimi Zainon
-

Kutipan Tabung Pahlawan Hargai Pengorbanan Pahlawan Negara
KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (KSU), Dato’ Sri Muez Abd Aziz merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua persatuan veteran yang terlibat dalam melaksanakan Program Kutipan Tabung Pahlawan.
“Program Kutipan Tabung Pahlawan yang dilaksanakan oleh 83 persatuan veteran telah berjaya mengumpul dana kutipan persatuan berjumlah RM 3,189,326.83 manakala Program Kesedaran Bersama Masyarakat berjumlah RM 616,000.00 dan kejayaan ini menunjukkan keprihatinan serta pengiktirafan oleh warganegara Malaysia ke atas pahlawan negara khususnya warga veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Dana kutipan Tabung Pahlawan 2020 termasuk insentif Program Kesedaran Bersama Masyarakat telah diagihkan kepada semua persatuan veteran pada 24 Apr 2021 dan Yayasan Veteran ATM berjumlah RM3,335,053.31 serta hari ini pemberian Dana Matching Grant berjumlah RM RM3,063,836.35 diagihkan sebagai nilai tambah kepada Persatuan Veteran dalam menjayakan Program Kutipan Tabung Pahlawan,” jelas KSU.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Penyerahan Dana Kempen Tabung Pahlawan 2020 (Matching Grant) kepada Persatuan Veteran ATM di Wisma Perwira ATM pada 25 Ogos 2021.
Agihan dana KTP yang diterima oleh persatuan-persatuan akan dimanfaatkan bagi tujuan kebajikan Veteran ATM serta tanggungannya yang berkelayakan meliputi Veteran Kelainan Upaya (VKU), bantuan khas kepada balu dan anak-anak dalam kategori OKU, veteran yang terlibat musibah dan bencana alam, bantuan bagi veteran dan balu veteran dalam keadaan daif serta bantuan kebajikan lain kepada veteran-veteran ATM yang memerlukan di seluruh negara.
KSU juga berharap agar persatuan veteran dapat menjalankan tugas secara profesional, berintegriti dan bergiat aktif dalam berpersatuan serta sentiasa memberikan kerjasama kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM).
Selain itu, beliau juga menyarankan supaya Persatuan-Persatuan Veteran ATM menggunakan dana daripada dana Kutipan Tabung Pahlawan ini sewajarnya kepada para Veteran ATM serta tanggungan yang memerlukan dan pemantauan juga akan dilaksanakan oleh Kementerian dalam memastikan sumber Kempen Tabung Pahlawan mencapai objektifnya.
Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany TLDM dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal Hj Abdul Samad TUDM.
Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi
