Tag: Lawatan Kebajikan

  • Warga 2 Bgd Bakal Terima Masjid Baharu

    Warga 2 Bgd Bakal Terima Masjid Baharu

    PERAK: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Muhammad Hafizuddeain Jantan menyempurnakan acara gimik Perasmian Pecah Tanah Masjid Baharu Briged Kedua Infantri Malaysia (2 Bgd) di Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) pada 13 Mac 2024.

    Masjid baharu berkonsepkan Modern Nusantara ini akan dibina di atas tanah seluas dua ekar dan bangunan masjid berkeluasan 1003.6 meter persegi di mana mampu menampung hampir 1,000 jemaah serentak pada satu-satu masa.

    Acara ini merupakan sebahagian daripada program sempena Lawatan Ulung PTD ke Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMBTD) di 2 Bgd sejak mengambil alih jawatan sebagai PTD pada 6 Sep 2023 yang lalu.

    Terdahulu, ketibaan beliau di MK 2 Bgd disambut oleh Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Lt Jen Dato’ Pahlawan Hj Muhammad Huzaimi Sabri lalu diberi penghormatan untuk mengambil tabik hormat serta memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) dari Batalion Ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (23 RAMD).

    Sesi lawatan diteruskan dengan taklimat perkara G, A dan Q yang disampaikan oleh PMB TD bagi memberi gambaran lebih jelas berkenaan perkara-perkara kesiagaan dan keupayaan serta kekangan yang dihadapi oleh pasukan.

    Pada masa yang sama turut diadakan Majlis Ramah Mesra dan Sumbangan Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) sempena Lawatan Ulung Pengerusi Jemaah BAKAT Darat, Puan Sri Datin Hartiah Hamzah ke BAKAT naungan PMBTD bertempat di Rumah BAKAT Kem 2 Bgd dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) 2 Bgd.

    Pada sebelah petang, PTD meluangkan masa melaksanakan lawatan kebajikan di Kinta Perdana, Ipoh bagi menziarahi Brig Jen Salim Ahmad Miandad (Bersara) yang menghidap penyakit mild stroke melibatkan tangan sebelah kiri sejak Feb yang lalu.

    Seterusnya, PTD dan isteri menghadiri Majlis Iftar Ramadan bersama warga PMBTD di Padang Kawad 23 RAMD sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah.

    Ketika jamuan moreh, PTD turut berkesempatan beramah mesra dan menyampaikan sumbangan serta kotak rezeki kepada 15 orang golongan asnaf dan warga PMBTD yang mengalami masalah kesihatan bagi mengurangkan beban yang ditanggung.

    Turut hadir, Panglima Divisyen Keempat Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Ts Reizal Arif Tan Sri Ismail dan pegawai-pegawai kanan TD.

    Gambar: LKpl Mohammad Shukri Suhaimi & LKpl Nik Ahmad Asyraaf Nik Husein

  • Kebajikan Warga TD Terus Diberi Keutamaan

    Kebajikan Warga TD Terus Diberi Keutamaan

    NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain dan isteri, Puan Sri Datin Seri Zainuriah Hj Mustapha melakukan Lawatan Kebajikan ke atas warga Briged Pertama Infantri Malaysia (1 Bgd) di Kem Rasah pada 13 Jan 2023.

    Seramai empat waris anggota disantuni PTD dimulai dengan anak kepada Kpl Mohd Amin Pi Amaddin dari 1 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja (1 Komp KPTD) iaitu adik Harith Ahmad berusia lapan tahun yang disahkan menghidap penyakit autisme serta masalah pembelajaran sejak umur lima tahun dan kini menjalani terapi di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

    Seterusnya, PTD menyantuni anak kepada Kpl Mohd Aizat Yusof dari 1 Komp KPTD iaitu adik Umar Rayyan yang disahkan menghidap jantung berlubang ketika berusia dua bulan dan kini menerima rawatan secara berkala di Hospital Serdang, Selangor selepas menjalani pembedahan menutup dua lubang kecil berukuran 0.4mm pada 22 Nov 2019.

    PTD mengakhiri lawatan kebajikan dengan menyantuni anak dan isteri kepada Sjn Mohd Sharapudin Razak dari pasukan 1 Woksyop Briged (1 Wksp Bgd) iaitu adik Muhammad Solahuddin, 11, yang disahkan menghidap penyakit autisme serta jantung berlubang sejak berusia tujuh bulan di dalam kandungan dan kini menerima rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN).

    Manakala isteri beliau, Puan Amirah Mehat menghidap penyakit kencing manis serta darah tinggi sejak tahun 2011 dan kini mengalami gangguan sistem saraf tunjang setelah menjalani pembedahan bahagian belakang badan bagi membuang jangkitan kuman pada tahun 2014.

    Setiap waris yang disantuni menerima sumbangan berbentuk hamper dan bantuan kewangan dari Tabung Kebajikan Tentera Darat bagi meringankan beban yang ditanggung.

    Pelaksanaan aktiviti seumpama ini sejajar dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga.

    Turut hadir, Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Rashidin Hashimi Ab Rashid dan Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Mej Jen Azhan Hj Md Othman.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul
    #KesejahteraanWargaTD

  • Kementerian Pertahanan Cakna Kebajikan Warga TD

    Kementerian Pertahanan Cakna Kebajikan Warga TD

    SARAWAK: Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad mengiringi Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein menyantuni warga Briged Kesembilan Infantri Malaysia (9 Bgd) di Kem Rajang Area Security Command (RASCOM), Sibu pada 2 Nov 2022.

    Terdahulu, ketibaan Menteri Kanan Pertahanan disambut oleh Panglima 9 Bgd, Brig Jen Hj Mohd Shauari Hj Mat Piah lalu diteruskan dengan Lawatan Kebajikan dan penyampaian sumbangan kepada lima waris anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) di Teratak Imban.

    Menteri Kanan Pertahanan memulakan lawatan dengan menyantuni anak kepada Kpl Aslin Ganak Ngelai dari 9 Kompeni Kor Ordnans Diraja (9 KOD) iaitu adik Angle Jessie berusia tujuh tahun yang menghidap penyakit Cloacal Anomaly.

    Manakala anak kepada Kpl Neilly Joenerrie Jonathan Wong dari Skuadron Semboyan Briged Kesembilan Infantri (9 SSB) iaitu adik Areon Marcel berusia lapan tahun mengalami penyakit jantung berlubang.

    Penerima sumbangan seterusnya merupakan anak kepada Kpl Nazarudin Ali dari Rejimen 510 Askar Wataniah (Rej 510 AW) iaitu adik Siti Ellysha Fareesha berusia enam tahun yang mengalami masalah saraf.

    Anak kepada PW II Taha Arifin Mohamad Sarip dari 9 Woksyop Briged (9 Wksp Bgd) iaitu adik Farhan Iskandar berusia empat tahun yang menghidap penyakit Autisme juga mendapat perhatian dan sumbangan sewajarnya.

    Keprihatinan Menteri Kanan Pertahanan turut dizahirkan terhadap anak kepada Bdr Juna Lee Gindang dari Rej 510 AW iaitu Valentino Pasang berusia empat tahun yang menghadapi masalah buah pinggang dan Asthma.

    Di samping itu, beliau meluangkan masa menyapa dan beramah mesra dengan anggota 9 Bgd dan 31 Bgd yang terlibat dalam Karnival Bola Tampar sebelum menandatangani Buku Lawatan di Wisma Perwira 9 Bgd.

    Lawatan seumpama ini selaras dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga yang menumpukan aspek kebajikan anggota dan ahli keluarga.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Lt Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad dan Panglima 31 Bgd, Brig Jen Hj Abdul Jalal Zaidi Abdul Majid.

    #KesejahteraanWargaTD

  • TD Teguh Tingkatkan Moral Warga 21 GGK

    TD Teguh Tingkatkan Moral Warga 21 GGK

    JOHOR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain bersikap terbuka mendengar dan mengenal pasti permasalahan anggota bersabit aspek logistik, pentadbiran, kemudahan asas di kem serta perkara kebajikan untuk mengekalkan moral anggota 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) dalam melaksanakan tugas.

    “Saya menyeru kepada semua pegawai dan anggota supaya menggunakan saluran yang betul sekiranya menghadapi sebarang permasalahan, selain mempamerkan contoh teladan baik bagi mengekalkan imej positif 21 GGK dalam Tentera Darat (TD) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya,” ujar PTD.

    PTD berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam Program Kesejahteraan Warga 21 GGK di Dewan Jenalik, Kem Iskandar pada 28 Ogos 2022.

    Terdahulu, PTD diiringi Panglima 21 GGK, Mej Jen Nubli Hj Hashim ke Dewan Skuadron Perahu Khas (SPK) bagi menyantuni dan menyampaikan sumbangan kebajikan kepada tiga penerima bantuan yang menghidap penyakit kronik.

    Penerima sumbangan didahului oleh Kpl Khairul Anwar Abd Rahman dari MK 21 GGK yang mengalami patah tulang belakang (L1) dan kedua-dua belah tumit kaki serta cedera pada ligamen siku tangan kanan akibat terjatuh dari bangunan semasa melakukan latihan penerjunan gaya Free Style pada 21 Nov 2012. Beliau masih menjalani rawatan Pakar Orthopedik secara berkala di 94 Hospital Angkatan Tentera (94 HAT), Kem Terendak.

    Penerima sumbangan kedua adalah isteri kepada Sjn Muhammad Hafizal Ismail dari pasukan 21 Kump Log GGK iaitu Puan Norida Mat Nasir yang menghidap penyakit Kanser Payudara (Tahap 3) pada 7 Dis 2021. Isteri anggota masih menjalani rawatan susulan berkala di Hospital Mersing setelah menjalani pembedahan buang payudara sebelah kiri pada 16 Ogos 2022.

    Penerima sumbangan terakhir ialah bekas anggota Rejimen Pertama Gerak Khas (1 RGK) iaitu Sjn Karim Tohkachil (Bersara) yang mengalami kecederaan pada bahagian kaki kanan akibat terpijak jerangkap samar musuh ketika melaksanakan operasi mencari dan menjejak pengganas komunis dalam Op SELAMAT SAWADEE pada tahun 1974.

    Kemudian, PTD melawat Tapak Projek Pembinaan Kolam Menyelam Tempur 21 GGK dan mendengar taklimat perkembangan projek yang disampaikan oleh Pegawai Staf 1 Logistik MK 21 GGK, Lt Kol Firdaus Ismail.

    Seterusnya, PTD berbesar hati meluangkan masa beramah mesra menyantuni warga 21 GGK dan menikmati jamuan di Dewan Jenalik sebelum mengakhiri program dengan upacara pertukaran cendera kenangan bersama Panglima 21 GGK.

    Program kebajikan seumpama ini sejajar dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung beliau iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga dan mendukung tema Hari Tentera Darat Ke-89: Kesejahteraan Keluarga TD Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin.

    Turut hadir, Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Mej Jen Azhan Hj Md Othman.

    Gambar: PW II Shamsul Zaidi Zolkoffly dan Pbt Mohammad Fadzil Akirul

    #KesejahteraanWargaTD

  • Lawatan Kebajikan Pamer Keprihatinan PTD

    Lawatan Kebajikan Pamer Keprihatinan PTD

    NEGERI SEMBILAN: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain melakukan Lawatan Kebajikan ke atas warga Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dan veteran Tentera Darat (TD) di Grandstand Pavilion Rejimen Ke-51 Artileri Diraja (51 RAD) pada 9 Ogos 2022.

    Seramai tiga waris anggota dan veteran disantuni PTD dimulai dengan Sjn Mohd Hazri Abdul dari Skuadron Keempat Rejimen Askar Jurutera Diraja (Jambatan) (4 Skn RAJD (Jn)) yang kehilangan tangan kiri selepas tersangkut pada rim motosikalnya dalam kemalangan jalan raya. Kini, keadaan kesihatannya stabil namun memerlukan perhatian dan penjagaan yang rapi daripada ahli keluarga.

    Seterusnya, PTD menyantuni veteran TD iaitu Kpl Hamid Katik (B) yang kehilangan kaki kirinya akibat terpijak jerangkap samar ketika melaksanakan operasi mencari dan menjejak pengganas komunis dalam Operasi Gonzales 1 di Grik, Perak pada tahun 1978. Akibat daripada kejadian tersebut kaki kiri beliau terpaksa dipotong.

    PTD mengakhiri Lawatan Kebajikan dengan menyantuni bapa kepada PW II Mohd Najib Mohd Tahir dari Cawangan Lapangsasar Markas Garison Gemas iaitu Encik Mohd Tahir Mohd Said yang menghadapi masalah jantung, darah tinggi dan kencing manis.

    Di samping itu, PTD turut menyampaikan sumbangan wang tunai dari Tabung Zakat ATM dan Tabung Kebajikan TD bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh anggota dan keluarga.

    Pelaksanaan aktiviti seumpama ini sejajar dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung beliau iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga.

    Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan pegawai-pegawai kanan TD.

    Gambar: Pbt Mohammad Shukri Suhaimi dan Pbt Mohammad Fadzil Akirul
    #KesejahteraanWargaTD

  • TD Komited Kebajikan Warga 21 GGK

    TD Komited Kebajikan Warga 21 GGK

    JOHOR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain melakukan Lawatan Kebajikan ke atas keluarga anggota 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) yang mengalami penyakit kritikal bertempat di Dewan Hafiz, Mersing pada 6 Sep 2021.

    Seramai tujuh waris anggota disantuni PTD dimulai dengan anak kepada Sjn Nazzatul Putri Marina Kamsani dari pasukan Markas 21 GGK iaitu adik Putri Aaira Sofia berusia sembilan bulan disahkan menghidap penyakit Ventricular Septal Defect (VSD) oleh Pakar Jantung, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

    Lawatan Kebajikan diteruskan ke atas isteri kepada Sjn Rohaizad Mat Jamil dari pasukan Kor Perkhidmatan Diraja (KPD) MK Garison iaitu Siti Najiha Mohamad Kusaini yang mengalami Ovarian Cysts dan kini menjalani pemeriksaan serta rawatan susulan secara berkala di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

    Seterusnya PTD menyantuni anak kepada Kpl Mohd Shawal Awang yang berkhidmat di Rejimen 22 Komando (Rej 22 Kdo) iaitu adik Nur Arissa Sofea berumur lapan tahun yang mengalami jantung berlubang di mana beliau kini perlu menjalani pemeriksaan dan rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bharu.

    Kemudian, lawatan dibuat ke atas anak kepada Kpl Risman Basri dari Rej 22 Kdo, iaitu adik Muhammad Faris Ammar berumur enam tahun yang disahkan mengalami Autisme oleh Pakar Perubatan Hospital Sultan Ismail, Johor.

    PTD seterusnya menyantuni anak kepada Kpl Mior Shahril Bashah dari Skuadron Semboyan Gerak Khas (21 SS GK) iaitu adik Muhammad Adel Safiy berumur tujuh tahun yang menghidap penyakit Autisme dan perlu menjalani rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru dan Klinik Mersing Kanan, Mersing.

    Selain itu, PTD turut meluangkan masa bersama anak kepada Sjn Izwan Zulkifli dari 21 SS GK yang menghidapi sindrom Autisme dan perlu menjalani rawatan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru dan Klinik Mersing Kanan, Mersing.

    PTD mengakhiri Lawatan Kebajikan dengan menyantuni isteri kepada Kpl James Dindang Danggat dari 21 Kumpulan Logistik GGK iaitu Pauline Christina yang disahkan menghidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE) dan kini menjalani rawatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

    Dalam lawatan ini, PTD turut menyempurnakan pemakaian pangkat Sjn kepada Kpl Risman Basri dan Kpl James Dindang Danggat.

    Setiap waris yang disantuni menerima sumbangan berbentuk hamper, sumbangan peribadi dan sumbangan dari Tabung Kebajikan Tentera Darat bagi meringankan beban yang ditanggung.

    Lawatan ini dilaksanakan secara ringkas serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan.

    Turut hadir, Panglima 21 GGK, Mej Jen Nubli Hj Hashim dan Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Mej Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • Lawatan Kebajikan PTD Ke atas Anggota 2 Div

    Lawatan Kebajikan PTD Ke atas Anggota 2 Div

    PULAU PINANG: Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain bersama Pengerusi Jemaah Tertinggi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Darat, Puan Sri Datin Zainuriah Hj Mustapha melakukan Lawatan Kebajikan keatas anak anggota formasi 2 Div yang mengalami penyakit kritikal di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja (2 RAMD) pada 10 Dis 2020.

    Seramai tiga waris anggota disantuni terdiri dari anak kepada Kpl Mohamad Helmi Amran dari pasukan 2 RAMD, iaitu adik Muhammad Harith Aisy Qusyairi Mohd Helmi berusia enam tahun yang menghidapi penyakit Hypoxic Ischemic Encephalopathy sejak lahir.

    Penyakit tersebut berkaitan masalah saraf otak dan kini terlantar serta bergantung kepada alat bantuan pernafasan di mana perlu menjalani rawatan berkala di Hospital Pulau Pinang.

    Lawatan kebajikan diteruskan dengan PTD menyantuni Siti Hazirah Hassan isteri kepada Kpl Mohamad Fadli Mangsyor, anggota Markas Artileri Div 2 Div yang dikesan menghidap Kanser Limfoma Tahap dua pada bulan Jul 2020 dan telah menjalani enam siri rawatan kemoterapi sejak Ogos 2020 yang lalu.

    PTD mengakhiri Lawatan Kebajikan dengan menyantuni adik Nur Jannah Sabhi Azim, iaitu anak kepada Kpl Sabhi Azim Shuhaimi, anggota 2 RAMD.

    Adik Nur Jannah yang berusia dua tahun telah disahkan menghidapi penyakit Cornelia De Lange Syndrome iaitu sejenis penyakit berkaitan masalah genetik dan tumbesaran.

    Akibat pelbagai komplikasi kesihatan yang dialaminya, adik Nur Jannah kini mengalami masalah pendengaran serta rabun penglihatan dan sedang menunggu ketetapan dari pihak Hospital Pulau Pinang untuk melaksanakan pembedahan di perut bagi memasukkan Ryles Tube (saluran pemakanan).

    Acara diakhiri sumbangan PTD berbentuk hamper, barangan harian, sumbangan peribadi PTD dan sumbangan dari Tabung Kebajikan TD bagi meringankan beban yang ditanggung anggota.

    Turut hadir Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman, Panglima 2 Div, Mej Jen Datuk Arman Rumaizi Hj Ahmad, Asisten Ketua Staf Perisikan, Mej Jen Dato’ Rezil Shahidin, Panglima 6 Bgd, Brig Jen Dato’ Hj Mohd Halim Khalid, Pengarah Infantri, Brig Jen Dato’ Hj Muhammad Huzaimi Sabri, Pengerusi Rejimen Artileri Diraja, Brig Jen Dato’ Dr Hj Ibrahim Yasir dan Sarjan Mejar Rejimen Tentera Darat, Pegawai Waran I Mohd Pauzi Mohd Ali.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • Lawatan Kebajikan BAKAT 3 Div Tanda Prihatin

    MELAKA: “Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul” atas tanda keprihatinan, BAKAT 3 Div mengadakan lawatan kebajikan pada 21 Jul 2018.

    Lawatan yang bertujuan untuk melihat sendiri ahli dan anak BAKAT 3 Div yang menghadapi masalah kesihatan ini diketuai oleh Pengerusi BAKAT 3 Div, Datin Norhanita A. Hamid.

    Lawatan bermula dengan kunjungan ke rumah Sjn Fairusfaili Ahmad dari 3 Rejimen KPTD, di mana isterinya menghadapi masalah jantung manakala anaknya pula merupakan anak istimewa.

    Rombongan turut melawat Kpl Reinson Jakleng dan Kpl Mohd Rafae Atoh dari MK 3 Div, yang anak masing-masing menghadapi masalah jantung dan paru-paru.

    Selain itu, rombongan juga singgah ke rumah Kpl Mohamad Firzuan Saime dari 73 Wksp Div yang anaknya menghadapi masalah ketumbuhan kepala dan Kapt Hazwan Che Nan yang isterinya menghadapi masalah buah pinggang serta anak istimewa.

    Turut menyertai rombongan ialah Pengerusi BAKAT Kem 3 Div, Puan Roziah Abdullah, Setiausaha BAKAT, Puan Norhaida Wan Teh dan AJK Kebajikan, Puan Wan Fakhriah Hawan.