Tag: OP BENTENG

  • NTF Bubar, Keberkesanan Op BENTENG Kekal Diiktiraf

    NTF Bubar, Keberkesanan Op BENTENG Kekal Diiktiraf

    KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Affendi Buang TUDM amat berpuas hati dengan kejayaan National Task Force (NTF) mengawal serta menguasai sempadan darat dan maritim negara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Fasa Pelan Pemulihan Negara hinggalah ke Fasa Peralihan Endemik berkuatkuasa pada 1 Apr 2022 yang lalu.

    “Dalam tempoh tersebut, sebanyak RM 1.10 bilion nilai rampasan berjaya dikumpulkan dengan 7,490 tangkapan melibatkan 1,444 tekong, 23,894 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan 1,377 penyeludup.

    “Kejayaan ini adalah hasil daripada kerjasama antara agensi yang terlibat, perkongsian maklumat perisikan secara efektif, perancangan bersama yang mapan serta keutuhan semangat setiakawan, sekaligus mendukung konsep Whole of Government iaitu menggembleng keseluruhan jentera kerajaan dalam mengatasi cabaran pada masa hadapan,” jelasnya.

    PAT berkata demikian dalam sidang media Majlis Penghargaan Perkhidmatan Op BENTENG 2020-2022 Sempena Pembubaran NTF yang diadakan di Ruang Legar Dahlia, Wisma Pertahanan pada 28 Dis 2022.

    Terdahulu, beliau telah merasmikan pembubaran NTF di Auditorium Wisma Pertahanan dan seterusnya menyampaikan Coffee Table Book NTF serta menyematkan Pin NTF sebagai menzahirkan penghargaan kepada perwakilan petugas.

    Dengan pembubaran itu, maka berakhirnya pelaksanaan Op BENTENG yang dianggotai oleh 18 agensi keselamatan berkuatkuasa pada 31 Dis 2022.

    Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Hj Abdullah Sani, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Mohd Daud, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Datuk Mohd Zubil Mat Som dan panglima-panglima perkhidmatan.

    Gambar: Pbt Tuan Muhammad Farizal Tuan Dir

  • Kenderaan OP BENTENG Tingkat Mutu Kesiagaan TD

    Kenderaan OP BENTENG Tingkat Mutu Kesiagaan TD

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain telah melakukan Lawatan Pemeriksaan Motosikal Scrambler 300cc di 92 Depot Kenderaan Pusat (92 DKP) pada 15 Apr 2021.

    Sejurus ketibaan PTD, acara dimulakan dengan penyampaikan taklimat pengoperasian kenderaan oleh Pengarah Syarikat Global Mahawangsa Sdn Bhd, Datuk Cham Nong Aliap.

    Dalam pemeriksaan ini, terdapat sebanyak 378 unit Motosikal Scrambler 300cc yang diperolehi bagi kegunaan operasi dalam OP BENTENG.

    Seterusnya, majlis penyerahan kenderaan tersebut telah disempurnakan dengan penyerahan Replika Kunci Motosikal Kawasaki kepada PTD sebagai simbolik penyerahan Motosikal Scrambler tersebut kepada Tentera Darat (TD).

    Kenderaan tersebut bertujuan untuk membantu meningkatkan aspek mobiliti dalam penugasan OP BENTENG di sempadan negara sejajar dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Kelangsungan Misi dan Kesiagaan.

    Turut hadir, Panglima Logistik Tentera Darat, Mej Jen Muhammad Ariff Soo Abdullah dan Pegawai Kanan TD.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • Aset Baharu Pertingkatkan Kesiagaan TD

    Aset Baharu Pertingkatkan Kesiagaan TD

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Motosikal Scrambler 250cc bertempat di 92 Depot Kenderaan Pusat (92 DKP), Kem Batu Kentonmen pada 17 Feb 2021.

    Tentera Darat (TD) menerima kira-kira 180 buah Motosikal Scrambler 250cc di bawah Perolehan Rolling Plan Keempat bagi kegunaan operasi.

    Sejurus selesai taklimat pengoperasian kenderaan yang disampaikan oleh Pengarah Syarikat Kawasaki Motors Sdn Bhd, Dato’ Jefry Lim dan PTD telah dipertontonkan dengan demonstrasi tunggangan Motosikal Scrambler tersebut yang dipersembahkan oleh The Army Red Warrior Motorcycle Team.

    Seterusnya, majlis penyerahan kenderaan tersebut telah disempurnakan dengan penyerahan Replika Kunci Motosikal Kawasaki kepada PTD sebagai simbolik penyerahan Motosikal Scrambler tersebut kepada TD.

    Majlis ini telah dilaksanakan secara ringkas dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah ditetapkan kerajaan.

    Justeru, dengan penerimaan aset baharu ini bertepatan dengan salah satu penumpuan Tonggak Pertama Perintah Ulung PTD Ke-28 Kelangsungan Misi Dan Kesiagaan iaitu penumpuan kepada perolehan dan penyelenggaraan aset-aset bagi memastikan kesiagaan tempur TD berada di tahap terbaik untuk sebarang aturgerak operasi.

    Turut hadir, Panglima Logistik Tentera Darat, Mej Jen Muhammad Ariff Soo Abdullah dan Pegawai Kanan TD.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul

  • Syabu Bernilai 16 Juta Berjaya Dirampas

    Syabu Bernilai 16 Juta Berjaya Dirampas

    KELANTAN: Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div) mencatatkan kejayaan terbesar apabila berjaya menumpaskan penyeludupan dadah di kawasan sempadan pada 8 Feb 2021.

    Panglima Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Bgd), Brig Jen Zamsari Abu Hassan membuat kenyataan rasmi bahawa OP BENTENG Zon Utara Kawasan OP MERPATI telah membuat rampasan 10 guni syabu seberat 402 kilogram yang bernilai RM16,080,000.00 di Kg Lubok Stol, Rantau Panjang.

    Rampasan ini memberi impak signifikan terhadap kejayaan keseluruhan OP BENTENG yang merupakan cetusan idea Panglima Angkatan Tentera (PAT) dalam memperkukuhkan persempadanan negara sewaktu dilanda pandemik COVID-19.

    Di samping itu, kejayaan ini adalah selari dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung Panglima Tentera Darat (PTD) Ke-28 iaitu Kelangsungan Misi dan Kesiagaan.

    Justeru, Panglima 8 Bgd menyeru penduduk setempat dan semua agensi terus sama-sama berkongsi maklumat serta berganding bahu untuk mencegah sebarang bentuk jenayah rentas sempadan bagi menjamin kedaulatan negara kekal terpelihara.

    Beliau juga berharap agar kejayaan ini terus menjadi pemangkin terhadap kesiagaan setiap anggota yang bertugas di perbatasan bagi menjaga kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat.

    – Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia.

  • PTD Uji Kenderaan OP BENTENG

    PTD Uji Kenderaan OP BENTENG

    KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain melakukan Lawatan Pemeriksaan Perolehan Kenderaan OP BENTENG di 92 Depot Kenderaan Pusat (92 DKP) pada 22 Jan 2021.

    Sejurus ketibaan PTD, acara dimulakan dengan penyampaian taklimat oleh Pengarah Urusan Syarikat Go Auto Sdn Bhd, Dato’ SM Azli SM Nasimudin.

    Antara kenderaan yang diperolehi bagi penugasan OP BENTENG adalah All Terrain Vehicle (ATV) dan Trak Satu Tan GS Kargo.

    Dalam lawatan ini, PTD berkesempatan menguji kecekapan kenderaan ATV tersebut sebelum didemonstrasikan oleh wakil syarikat berkenaan.

    Kenderaan tersebut bertujuan untuk membantu meningkatkan aspek mobiliti dalam penugasan OP BENTENG di sempadan negara sejajar dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Kelangsungan Misi dan Kesiagaan.

    Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh Syarikat Go Auto kepada PTD.

    Turut hadir, Panglima Logistik TD, Mej Jen Dato’ Md Fuad Abd Jalil serta Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan TD, Mej Jen Datuk Hamdan Hj Ismail.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul

  • Kerjasama Dengan Agensi Lain Dalam OP MERPATI 1 Cemerlang – PTD

    Kerjasama Dengan Agensi Lain Dalam OP MERPATI 1 Cemerlang – PTD

    JOHOR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain memaklumkan sehingga kini, pelaksanaan Operasi Bersepadu bersama agensi kerajaan lain di Negeri Johor dalam OP MERPATI 1 amat cemerlang kerana telah berjaya menangkap 24 Tekong melibatkan 13 Tekong Darat dan 11 Tekong Laut serta 1,108 PATI dengan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM2.6 juta.

    “Penguatkuasaan kawalan sempadan negara yang dilakukan secara bersepadu di antara pasukan terlibat membuahkan kejayaan cemerlang sekaligus dapat membanteras kemasukan PATI ke negara terutama di kawasan Johor.

    “Antara faktor yang menyumbang kepada kejayaan pelaksanaan OP BENTENG terutamanya di Johor adalah kerana wujudnya perancangan risikan dan kerjasama erat khususnya antara Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Johor dan TD melalui Markas Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Bgd),” jelas PTD.

    PTD berkata demikian semasa sidang media dalam lawatan beliau ke Markas Taktikal Pos Tg Sepang yang merupakan kawasan OP BENTENG bagi sektor 7 Bgd pada 30 Dis 2020.

    Tambahnya lagi, kawasan operasi di Johor ini adalah antara kawasan operasi yang paling berjaya kerana mempunyai aset dan sistem teknologi seperti radar dan dron yang membuat pemantauan secara berterusan di kawasan sempadan.

    Menurutnya, kejayaan ini juga berikutan daripada pembabitan serta koordinasi atur gerak antara komponen darat, maritim serta penggunaan aset dan teknologi melaksanakan pemantauan secara berterusan.

    “Saya merakamkan penghargaan atas kerjasama yang telah diberikan bagi memastikan kejayaan OP BENTENG ini kepada Ketua Polis Johor, Komisioner Polis (CP) Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay, Komander Komponen Darat dan Maritim (LCC & MCC), Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Pasukan RELA dan penduduk tempatan sekitar Bandar Penawar yang tampil berkongsi maklumat.

    “Manakala National Task Force (NTF) yang diwujudkan dalam mengekang penularan wabak COVID-19 akan diteruskan dengan pengstrukturan semula fungsi dan peranan bagi mengawal kedaulatan negara,” katanya.

    Terdahulu ketibaan PTD disambut oleh Panglima 7 Bgd, Brig Jen Mohamed Fauzi Kamis dan dimulakan dengan penyampaian taklimat konsep aturgerak operasi yang disampaikan oleh Panglima 7 Bgd dan Pegawai Memerintah Batalion yang beroperasi di sektor tersebut.

    PTD kemudiannya dipertontonkan dengan Demonstrasi Aturgerak OP BENTENG iaitu Pengoperasian Drone oleh Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) serta Pengoperasian Kereta Perisai GEMPITA.

    Selain itu, turut diadakan Demonstrasi Aturgerak Anjing Perang dari Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) dan diakhiri dengan Demonstrasi Prosedur Tangkapan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).

    Pada masa sama, PTD turut berjumpa dengan anggota yang sedang melaksanakan operasi dan menasihatkan mereka agar menjaga displin dan tidak melakukan perkara di luar bidang kuasa yang boleh menjejaskan nama baik TD serta terus komited menjalankan amanah yang diberi.

    Turut hadir, Pemangku Panglima Medan Barat Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Hj Ya’cob Hj Samiran, Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Ketua Polis Johor, Panglima Laut Wilayah 1, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Penolong Pengarah MKN Negeri Johor, Pengarah Maritim Johor dan Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Johor.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul dan Saifun Hakimi Zainon

  • 1 Div Halang Penyeludup PATI

    1 Div Halang Penyeludup PATI

    SARAWAK: Pasukan Tentera Darat (TD) di bawah Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Div) berjaya melakukan pengusiran terhadap cubaan memasuki negara ini tanpa melalui laluan yang sah pada bulan Dis 2020 semasa melaksanakan OP BENTENG.

    Kejayaan tersebut dilaksanakan oleh unit yang sedang melaksanakan operasi berjaya mengusir lima orang PATI yang cuba menyelinap masuk ke Sarawak dan barang-barang dipercayai untuk diseludup masuk yang berlaku dalam empat kejadian berasingan pada bulan Dis 2020 di sempadan Malaysia–Indonesia.

    Kejadian pertama, berlaku di Sektor Balai Ringin, dua PATI dari Indonesia tela ditahan dan disoal siasat dan diusir keluar ke sempadan Malaysia-Indonesia.

    Sementara itu, di Lubuk Antu anggota yang sedang bertugas menjumpai tiga beg penuh berisi pakaian harian ditinggalkan di tepi pokok kelapa sawit.

    Kejadian ketiga pula berlaku di Sektor Balai Ringin di mana Kumpulan Ronda Berkenderaan telah menahan tiga PATI Indonesia yang cuba merentasi sempadan Malaysia-Indonesia.

    Kejadian keempat pula di Sektor Tebedu, anggota ronda telah menjumpai 10 beg guni penuh berisi pakaian, alat solek, ubat-ubatan dan rempah yang bernilai RM17,500 ditinggalkan di belakang sebuah rumah kosong tersebut.

    Kes-kes pencerobohan dan cubaan penyeludupan barangan di sempadan Sarawak–Kalimantan Barat dilihat semakin meningkat. Justeru, anggota keselamatan terutama TDM sentiasa bersedia dan meningkatkan lagi kesiagaan serta tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melakukan jenayah dan membolosi sempadan Negara.

    Pemerintahan Markas 1 Div bersama pasukan-pasukan keselamatan di bawah National Task Force (NTF) melalui inisiatif OP BENTENG terus komited dalam mengekang kegiatan jenayah rentas sempadan serta aktiviti menyelinap masuk ke Sarawak dikala pandemik Covid-19 masih belum reda.

  • ATM Terus Komited Kawal Sempadan Negara

    ATM Terus Komited Kawal Sempadan Negara

    KEDAH: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain mengiringi Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM meninjau ke kawasan OP BENTENG sektor Utara (OP PAGAR II) yang merupakan kawasan kawalan sempadan di bawah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan Bukit Kayu Hitam pada 2 Dis 2020.

    Lawatan PAT ini adalah untuk melihat sendiri keadaan dan kesiapsiagaan anggota TD yang terlibat dalam OP BENTENG yang mana lokasi di bawah OP PAGAR II yang dilawati adalah beberapa Pos Pemerhati dan Pos Sekatan Jalan Keselamatan (SJK).

    Semasa sidang media, PAT menyatakan bahawa ATM sentiasa memastikan anggotanya mempunyai tahap kesiapsiagaan yang tinggi iaitu dalam mengukuhkan rondaan di kawasan penugasan selain meningkatkan aktiviti risikan.

    “Atur gerak aset ATM adalah berpandukan kepada penilaian ancaman semasa serta kesesuaiannya dengan penugasan operasi yang dilaksanakan.

    “ATM sentiasa berusaha memperkasa dan memperkemaskan kawalan keselamatan persempadanan negara serta tidak menolak untuk mengatur gerak aset sedia ada yang bersesuaian bagi memastikan operasi dapat dilaksanakan secara berkesan sekaligus memberi perlindungan yang lebih baik kepada anggota-anggota ATM yang bertugas,” jelas beliau.

    Tambahnya lagi, perolehan aset seperti dron sangat efektif dalam meningkatkan keberkesanan pelaksanaan operasi di kawasan sempadan dan ianya akan menjadi keutamaan dalam perancangan perolehan aset baharu bagi pelaksanaan OP BENTENG.

    “Pertambahan dron yang lebih banyak akan membantu aktiviti pengawasan di sempadan negara dan dapat dilakukan dengan lebih berkesan serta pantas selain turut menjimatkan kos perbelanjaan operasi.

    “Untuk kita membuat pengawasan dan pengintipan di kawasan yang besar, kita memerlukan sesuatu alat yang boleh bertindak cepat serta dapat melalui kawasan yang sukar ditempuh oleh anggota keselamatan yang bertugas,” kata beliau.

    Selain itu PAT turut menjelaskan bahawa sebelum ini, pemantauan udara turut mengunakan pesawat-pesawat tentera termasuklah PDRM yang mana ia melibatkan kos yang besar dan sebagai langkah yang terbaik bagi mengawal sempadan negara yang panjang adalah dengan penggunaan dron di kawasan-kawasan yang terlibat.

    Jelas beliau lagi, dron yang digunakan tidak semestinya terlalu sofistikated dan kos yang tinggi, tetapi sesuai dengan keperluan operasi yang dilaksanakan sekarang.

    Terdahulu ketibaan delegasi PAT dan PTD di LP Pos 5, diiringi oleh Panglima 2 Div, Mej Jen Datuk Arman Rumaizi Ahmad lalu disampaikan taklimat operasi di Markas Taktikal Pos 5.

    Pada masa sama, delegasi turut berkesempatan melawat ke Markas Taktikal Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Bukit Kayu Hitam.

    Tentera Darat bersama beberapa agensi keselamatan terlibat dalam melaksanakan OP BENTENG yang dikoordinasikan oleh National Task Force (NTF).

    Keseluruhan kawasan tanggungjawab persempadanan Malaysia-Thailand yang diletakkan di bawah pengawasan ATM adalah merangkumi jarak 345 kilometer (km) daripada keseluruhan 646.5km panjang sempadan manakala selebihnya adalah di bawah pengawasan PGA.

    Kawasan tanggungjawab OP PAGAR II sejauh 24 km bermula dari Bukit Kayu Hitam hingga ke Padang Terap dipantau secara terperinci bagi mengesan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan.

    Turut hadir Komander NTF, Laksamana Madya Dato’ Aris Adi Tan Abdullah, Komander Briged Utara PGA, SAC Abdul Ghani Mohamad Ji, Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan ATM, Mej Jen Hashim Aman Shah, Panglima 6 Bgd, Brig Jen Dato’ Hj Mohd Halim Khalid ATM dan Panglima 30 Bgd Brig Jen Mohd Zaki Abu.


    Gambar: Sjn Saiful Fazley