KUALA LUMPUR: 74 Woksyop Divisyen (74 Wksp Div) menjuarai Perlawanan Akhir Piala Presiden Persatuan Bola Sepak Angkatan Tentera (PBAT) 2022 selepas menumpaskan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) dengan penentuan sepakan penalti empat (4) gol berbalas tiga (3) di Stadium Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) pada 15 Feb 2023.
Johan pertandingan membawa pulang pingat emas, wang tunai bernilai RM3,000 serta piala pusingan manakala naib johan membawa pulang pingat perak dan wang tunai RM2,000.
Terdahulu, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain yang hadir bagi menyaksikan perlawanan akhir diperkenalkan kepada para pemain dan menyempurnakan gimik penyerahan bola sebagai tanda memulakan perlawanan.
Perlawanan Piala Presiden PBAT ini merupakan Liga Super Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan disertai oleh ketiga-ketiga perkhidmatan.
Sejurus tamat perlawanan, PTD menyempurnakan acara penyampaian Anugerah Penjaga Gol Terbaik disandang oleh Kpl Mohd Amirul Hakimi Mohd Noes manakala Anugerah Pemain Terbaik dinobatkan kepada Kpl Mohd Edry Hakimi Nordin masing-masing daripada 74 Wksp Div.
Semangat kesukanan dan kerjasama yang dipamerkan dalam perlawanan ini sejajar dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Memperkasakan Keutuhan Organisasi.
Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Ketua Staf Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan pegawai-pegawai kanan TD.
Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul