Bersama PemimpinPenghargaanSemasa

Perbarisan Penghargaan Mej Jen Dato’ Ezani Abdullah

PERAK: Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman memanjatkan kesyukuran diberi kesempatan menghadiri Perbarisan Penghargaan Persaraan Mantan Asisten Ketua Staf (AKS) Logistik Pertahanan Markas Angkatan Tentera Malaysia (MK ATM) merangkap Pengerusi Kor Perkhidmatan Diraja (KPD) Ke-14, Mej Jen Dato’ Ezani Abdullah.

“Mej Jen Dato’ Ezani Abdullah merupakan seorang pegawai kanan Tentera Darat (TD) yang berpengetahuan tinggi, berpengalaman luas serta amat kompeten dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Sebagai seorang logistician, beliau berjaya memainkan peranannya dalam menyelaras keperluan logistik TD dan ATM dengan amat cemerlang,” jelasnya.

TPTD berkata demikian semasa ucapan beliau dalam Perbarisan Penghargaan Persaraan Mej Jen Dato’ Ezani Abdullah di Padang Kawad Pusat Latihan Kor Perkhidmatan Diraja (PULMAT) pada 1 Apr 2022.

Perbarisan penghargaan berkonsepkan statik ini terdiri daripada tiga detasmen berkekuatan seramai 12 pegawai dan 148 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Lt Kol Muhammad Jeffry Abdullah dari Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) dengan diiringi Pancaragam Pusat Kor Armor Diraja.

Dalam ucapan Mej Jen Dato’ Ezani Abdullah, beliau menyeru kepada seluruh warga KPD agar menggembleng sepenuh tenaga bersama-sama pucuk pimpinan tertinggi kor bagi memastikan perkhidmatan yang terbaik dapat diberikan.

“Kor ini perlu bersifat dinamik dan pelan tindakan yang holistik haruslah digarap untuk memenuhi keperluan yang digariskan oleh TD bagi memastikan relevansi kor ini pada masa hadapan,” tambahnya lagi.

Sejurus tamat perbarisan, TPTD kemudiannya diiringi ke Dewan Rampai Sari, PULMAT bagi menyaksikan acara menandatangani Nota Serah Terima Tugas Pengerusi KPD di antara Mej Jen Dato’ Ezani Abdullah dengan Mej Jen Hj Abdul Aziz Samsi@Hj Shamsudin.

Majlis diteruskan dengan sesi jamuan makan dan diserikan lagi persembahan oleh Band D’semenggos serta tayangan video montaj yang memaparkan serba sedikit coretan kenangan sepanjang perkhidmatan Mej Jen Dato’ Ezani Abdullah.

Mengimbas keperibadian Mej Jen Dato’ Ezani Abdullah, beliau mula mengikuti latihan ketenteraan pada 18 Mei 1981 lalu memulakan kerjaya di 6 Kompeni Angkut KPD setelah ditauliahkan sebagai Pegawai Muda pada 6 Mac 1982.

Beliau juga telah menyandang beberapa jawatan penting iaitu sebagai Pengarah Dasar di Bahagian Logistik Pertahanan MK ATM, Ketua Staf di Markas Pemerintahan Logistik TD dan Pengarah KPD di Jabatan Arah Kor Perkhidmatan.

Simbolik acara diakhiri dengan Street Lining mengikut pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelakkan penularan COVID-19.

Turut hadir, Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia, Mej Jen Dato’ Hj Muhammad Huzaimi Sabri, Panglima Briged Kedua Infantri Malaysia, Brig Jen Mohd Azmurin Mat Khalib dan Ketua Pengarah Tadbir dan Logistik Pemerintahan Medan Barat TD.

Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul

 

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button