KUALA LUMPUR: “Barangkali inilah kali pertama dalam sejarah Negara Malaysia, Majlis Makan Malam Rejimental (MMR) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat diadakan dan tentu sekali ucapan terima kasih juga seharusnya diberikan kepada dua panglima bersaudara iaitu Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Polis Negara (KPN), Ins Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Fuzi Harun kerana berjaya menganjurkan majlis yang sebegini meriah,” ucap Perdana Menteri Malaysia (PM), Dato’ Sri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak semasa Majlis Makan Malam Rejimental ATM dan PDRM di Wisma Perwira ATM pada 30 Mac 2018.
Tambahnya lagi, majlis ini cukup bermakna dan teristimewa kerana segala acara dan persembahan pada malam ini dibuat secara bersepadu daripada mula ketibaan beliau yang disambut bersama-sama oleh pegawai tertinggi ATM dan PDRM biarpun dengan berlainan cara mereka memberi tabik tetapi kemeriahan mereka tetap hebat sekali.
Seramai 460 pegawai ATM dan PDRM menghadiri majlis yang dihoskan bersama menunjukkan bukti kerjasama, sokongan serta penghargaan kedua-dua pasukan keselamatan negara ini sebagai organisasi yang menjaga pertahanan dan keselamatan negara kepada kerajaan.
Majlis pada malam ini turut diserikan lagi dengan acara memotong kek yang disumbangkan ATM kepada PDRM sebagai simbolik meraikan Sambutan Hari Peringatan PDRM Ke-211 yang jatuh pada tanggal 25 Mac 2018.
Dalam ucapan PAT, beliau menyatakan malam yang penuh bermakna ini menyaksikan dua organisasi beruniform terpenting negara dipertemukan dan dirapatkan dalam suasana akrab taut bersatu dan turut berbangga kerana majlis ini diserikan lagi dengan kehadiran PM.
“Ini pada hemat saya jelas menunjukkan keprihatinan PM dimana kita bukan sahaja sentiasa dekat malahan tertambat dihati beliau kerana sentiasa memberi perhatian khusus buat kita,” ujar PAT.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Malaysia merangkap Menteri Tugas-Tugas Khas, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Mohd Johari Baharum, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri dan panglima-panglima perkhidmatan.
Gambar: LKpl Ainur Aisyah Yahaya
[srizonfbalbum id=178]