PengorbananRencana

Kaki Kiri Hancur, Kaki Kanan Ditembusi Peluru – Kpl Hamid Katik (B)

Melihat keamanan yang dikecapi negara Malaysia pada hari ini merupakan pengorbanan tentera pada suatu ketika dulu dalam mempertahankan kedaulatan bumi tercinta daripada jatuh ke tangan musuh. Keamanan dan kesejahteraan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia pada masa kini merupakan hasil pengorbanan terdahulu anggota tentera dalam mempertahankan serta memperjuangkan kedaulatan tanah air tercinta daripada jatuh ke tangan musuh. 

Rakyat kini boleh menjalani kehidupan tanpa rasa takut dan bimbang dengan ancaman daripada pihak musuh. Pengorbanan anggota tentera terdahulu seharusnya tidak dilupai kerana tanpa mereka kita tidak mungkin akan dapat menikmati kehidupan pada masa kini yang begitu selesa. Ikuti wawancara Wartawan Berita Tentera Darat Malaysia (BTDM), Sjn Nurulhaswani Ruzaini dan Jurugambar BTDM, Pbt Mohammad Shukri Suhaimi bersama Kpl Hamid Katik (B). 

“Zaman dahulu memang banyak bandit dan kalau pergi operasi tidak akan ada yang balik dengan selamat sepenuhnya. Ada yang mati, putus kaki, putus tangan dan bermacam-macam lagilah. Memang teruk sangat keadaan ketika itu. 

“Saya ingat lagi masa tu baru keluar dari hutan, hammock, pack loreng, kasut semua peralatan baru siap basuh. Malam tu pula saya mendapat arahan untuk bergerak lagi ke kawasan operasi yang baharu,” jelas Kpl Hamid Katik (B), 65 dalam nada sayu teringat kenangan pahit dan manis sepanjang 21 tahun perkhidmatan beliau dalam Tentera Darat (TD). 

Peristiwa 43 tahun yang lepas sentiasa segar dalam ingatan. Setiap bait kata-kata sentiasa diingati dan tidak akan dilupai malah ketika beliau menceritakan pengalaman semasa bertempur dengan komunis seperti ianya baru berlaku semalam. Baginya keadaan sekarang lebih selesa berbanding zaman dahulu dan anggota TD sekarang tidak lagi bertempur melawan komunis seperti zaman-zaman beliau dahulu. 

Kpl Hamid Katik (B) dilahirkan pada 26 Feb 1956 di Negeri Sembilan merupakan anak pertama dari tujuh orang adik-beradik. Kedua ibu bapa beliau hanya membuat kerja-kerja kampung. Ketika berusia 18 tahun, Kpl Hamid Katik (B) nekad untuk mengubah nasib dan ekonomi keluarganya. 

Tanggungjawab sebagai anak sulong menjadikan beliau seorang lelaki yang cekal dan tabah mengharungi liku-liku kehidupan. Tamat persekolahan beliau mula bekerja di Kilang Getah Lam Seng, Seremban. Ketika itu beliau terdengar berita bahawa satu temuduga pemilihan tentera dibuka dan terus mencuba nasib. 

“Habis sekolah saya terus bekerja di Kilang Getah. Masa itu saya terdengar yang TD akan membuat temuduga pemilihan kepada anak-anak muda yang tamat sekolah. Saya pun pergi dan alhamdulillah rezeki menyebelahi saya apabila terpilih dalam pemilihan tersebut. 

Pada 5 Apr 1974, Kpl Hamid Katik (B) melapor diri di Pusat Latihan Rekrut yang kini dikenali sebagai Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) selama enam bulan bagi mengikuti latihan asas ketenteraan sebelum layak digelar seorang anggota tentera. Ibu bapanya tidak tahu langsung yang beliau telah melapor diri di Port Dickson. 

Semasa dalam latihan, Kpl Hamid Katik (B) menulis surat kepada kedua ibu bapanya untuk memaklumkan bahawa beliau sedang menjalani latihan asas ketenteraan. Alangkah gembiranya mereka apabila mendapat tahu yang Kpl Hamid Katik (B) memilih untuk menghabiskan usia remajanya dengan berkorban untuk negara dalam mempertahankan kedaulatan tanah air. 

Tamat latihan rekrut beliau melapor di Batalion Ketujuh Rejimen Renjer Diraja (7 RRD) di Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah. Walaupun masih baharu namun beliau telah terlibat mengikuti beberapa siri operasi sepanjang berkhidmat di 7 RRD. Pada ketika itu memang zaman berperang dengan komunis dan hutanlah menjadi tempat tinggal mereka. 

Tiga tahun bergelar seorang anggota tentera, beliau bersyukur yang dirinya terselamat dari sebarang kecelakan ketika berhadapan dengan musuh di dalam kawasan operasi sehinggalah Kpl Hamid Katik (B) mengalami satu peristiwa hitam yang tidak mungkin dapat dilupakan olehnya. 

Seperti semalam peristiwa itu berlaku dalam dirinya di mana beliau telah terpijak periuk api ketika menjalani operasi membanteras komunis di Grik, Perak pada tahun 1978. Sebelum ini nasib menyebelahi beliau namun tidak pada operasi kali kelima ini. 

“Dalam setahun, saya hanya sekali dua dapat bersama dengan anak bini disebabkan sering terlibat dengan operasi. Saya ingat lagi pada tahun 1978, pagi itu kami dapat arahan untuk segera masuk ke kawasan operasi bagi mengesan serta membanteras komunis. Balik rumah saya pun kemas-kemas barang semua kerana petang itu juga kami akan bertolak ke operasi dengan menaiki heli. 

“Sampai di kawasan operasi heli tidak turun mendarat di tanah. Sebaliknya kami turun menggunakan tali di kawasan Grik yang disyaki terdapat ramai bandit. Masing-masing ketakutan namun perkara ini telah biasa kami rasai sepanjang bergelar anggota tentera,” jelasnya. 

Pada hari ketiga operasi pasukan Kpl Hamid Katik (B) berjaya menangkap seorang bandit hidup-hidup ketika melakukan rondaan di kawasan berbukit. Bandit tersebut hanya mampu menyerah diri dan merayu agar tidak ditembak setelah dikepung oleh pasukan Kpl Hamid Katik (B). Kapt Shabani berasa sungguh gembira atas kejayaan pasukannya sekaligus memudahkan mereka untuk mendapatkan maklumat mengenai kekuatan dan lokasi musuh daripada tebusan tersebut yang berumur sekitar 20-an dan berasal daripada Sinagapura. 

Hasil soal siasat, bandit tersebut mengaku sendiri yang beliau sangat kecewa terhadap pasukannya iaitu komunis di mana mereka telah berjanji untuk menjaga kebajikan keluarganya namun apa yang bandit tersebut terima sangat menyedihkan. Keluarganya yang kesusahan di kampung tiada seorang yang menghantar bantuan. Itu yang menyebabkan beliau berpaling tadah daripada organisasinya. 

Tapi malangnya, anggota pasukan bandit yang menyedari hal tersebut telah bertindak dengan pantas meninggalkan markas dan masuk ke dalam Thailand. Hanya tinggal saki-baki sahaja yang masih terdapat di lokasi berkenaan. Berdasarkan pemerhatian dan pemeriksaan yang dilakukan oleh pasukan peninjau, terdapat lebih kurang 25 kem yang telah dibina oleh bandit dan sebanyak 28 periuk api yang ditanam sekitar markas tersebut. 

Mereka meneruskan perjalanan di dalam hujan yang lebat, ketika waktu tengah hari Kpl Hamid Katik (B) bersama Kapt Shabani bergerak menaiki bukit. Keadaan tanah yang dibasahi hujan menyebabkan permukaan tanah menjadi lembut. Kapt Shabani telah terjatuh ke dalam gaung dan menerima kecederaan di kaki. Kpl Hamid Katik (B) yang melihat situasi tersebut, telah merangkak untuk menghulurkan bantuan. 

Pada jam lebih kurang 12 tengah hari, Kpl Hamid Katik (B) secara tiba-tiba terpijak periuk api menyebabkan berlaku letupan yang besar. Keadaan panik seketika dan Kpl Hamid Katik (B) tidak menyangka bahawa dirinya mengalami kecederaan parah akibat terpijak salah satu periuk api di lereng bukit. Darah tidak henti-henti mengalir keluar membanjiri tanah. 

Helikopter pula dijangka tiba pada sebelah petang bagi menghulurkan bantuan untuk penarikan keluar Kpl Hamid Katik (B) yang telah mengalami kecederaan parah. Kejadian tersebut mengakibatkan kaki sebelah kiri Kpl Hamid Katik (B) telah hancur disebabkan terkena letupan yang agak besar. 

Sebaik sahaja helikopter muncul pada jam 5.30 petang, musuh telah melancarkan tembakan bertubi-tubi ke arah helikopter tersebut menyebabkan bantuan terpaksa ditangguhkan dan mereka terpaksa berundur. Kemudian, dua buah helikopter tiba yang mana salah sebuah helikopter bersenjata melepaskan tembakan bertubi-tubi dari atas bagi melindungi helikopter yang akan melakukan penarikan keluar. 

“Mujur hel ikopter datang pada hari kejadian walaupun cuaca agak buruk, jika datang esok pagi pastinya saya sudah mati kerana kekurangan darah,” katanya dengan nada sedih. 

“Badan terasa amat dingin dan menggigil kesejukan. Sewaktu proses penarikan keluar menggunakan tali, musuh telah melepaskan bertubi-tubi tembakan ke arah helikopter. Saya dapat merasakan kaki kanan telah terkena tembakan sewaktu dibawa naik. Namun, anggota pasukan sahabat membalas tembakan ke arah musuh bagi menarik perhatian mereka daripada menyasarkan helikopter,” jelasnya. 

“Saya telah dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Besar Ipoh untuk rawatan kecemasan. Saya mendapati kaki kiri saya sudah dipotong manakala kaki di sebelah kanan bernanah dan berkudis akibat tembus terkena tembakan,” katanya. 

Setelah enam bulan dirawat di Hospital Besar Ipoh, Kpl Hamid Katik (B) telah dipindahkan ke Hospital Tentera Kinrara bagi mendapatkan rawatan lanjut selama setahun lebih. “Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa peritnya menahan kesakitan setiap kali jururawat melakukan proses cuci bahagian kaki yang bernanah,” kata Kpl Hamid Katik (B) dengan penuh sebak. 

Selepas semakin beransur pulih, beliau terpaksa mendapatkan kaki palsu agar memudahkannya untuk bergerak. Ketika itu hanya ada sebuah kedai sahaja yang membuat anggota palsu di Kuala Lumpur. Hal ini menyebabkan ianya memakan masa yang agak lama untuk siap. Selepas hampir dua tahun tidak dapat berjalan, akhirnya kaki palsu yang ditempah beliau siap untuk digunapakai. 

Kpl Hamid Katik (B) tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya apabila dapat berjalan semula. Namun ternyata tidak semudah itu untuk beliau berjalan kerana perlukan keseimbangan untuk mengawal pergerakan tubuh badan agar tidak terjatuh. 

Mengimbas keperibadian Kpl Hamid Katik (B), beliau telah berkahwin dengan Rohana Mohd Agos pada tahun 1975 dan dikurniakan tujuh orang cahaya mata iaitu empat orang lelaki dan tiga orang perempuan serta memiliki 20 orang cucu. Setelah bersara pada tahun 1994, beliau kini membuka sebuah kedai makan yang dinamakan Wira Ikan Bakar di Gemas, Negeri Sembilan. Kedai makan tersebut merupakan sumber pendapatan beliau setelah menamatkan persaraan dalam tentera. 

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button