KUALA LUMPUR: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat melibatkan seramai 30 Pegawai Kanan Tentera Darat (TD) sekaligus menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD pada 3 Nov 2022.
Brig Jen Hj Rusni Saad mendahului senarai dengan kenaikan pangkat ke Mej Jen berkuatkuasa 3 Okt 2022 dan menyandang jawatan sebagai Panglima Logistik TD.
Kenaikan pangkat ke Mej Jen seterusnya diikuti oleh Brig Jen Dato’ (Dr) Zulkifli Zainal Abidin yang berkuatkuasa 1 Nov 2022 bagi mengisi perjawatan selaku Pengarah Pergigian, Bahagian Perkhidmatan Kesihatan – Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Majlis diteruskan dengan pemakaian pangkat Brig Jen kepada enam pegawai kanan, diikuti tiga kenaikan ke Kol dan 19 kenaikan ke Lt Kol.
PTD seterusnya menyaksikan Acara Serah Terima Tugas yang melibatkan elemen Pemerintahan Logistik TD, Rejimen Renjer Diraja (RRD), Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja (KJLJD) dan Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita TD (JKHEW TD).
Tugas dan tanggungjawab Panglima Logistik TD diserahkan oleh Mej Jen Dato’ Abdul Aziz Samsi @ Hj Shamsudin kepada Mej Jen Hj Rusni Saad.
RRD juga turut bertukar tampuk pemerintahan di mana Mej Jen Datuk Abdul Rahman A.Wahab dilantik sebagai Pengerusi Kor berkenaan menggantikan Mej Jen Dato’ Dzulkafli Hj Mustaffa.
Serah Terima Tugas juga berlaku di antara Brig Jen Dato’ Ir. Hj Khairul Said Hj Mohd Ali dan Brig Jen Muhammad Shafiq Poh Abdullah selaku Pengerusi KJLJD yang baharu.
Sesi Serah Terima Tugas yang terakhir melibatkan Lt Kol Hjh Maslina Abu Said menyerahkan tugas selaku Pengerusi JKHEW TD kepada Kol Suhaila Dahalan.
PTD mengucapkan syabas dan tahniah atas pemakaian pangkat pada hari ini serta berpesan agar setiap individu sentiasa berkerja keras seiring dengan tanggungjawab yang dipikul.
Tambahnya lagi, karakter dan gerak geri seorang pegawai hendaklah sentiasa diperbaiki agar bersesuaian dengan imej sebagai seorang pemimpin.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Ketua Staf Markas Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohd Sofi Md Lepi dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Lt Jen Dato’ Dr Zulkeffeli Mat Jusoh.
Gambar: Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir