Tag: Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM

  • LKT 2022 Uji Kesiagaan Sistem Persenjataan ATM

    LKT 2022 Uji Kesiagaan Sistem Persenjataan ATM

    NEGERI SEMBILAN: Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2022 merupakan pendekatan yang selari dengan perancangan Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Pelan Strategik MINDEF 2022 serta Kertas Putih Pertahanan iaitu memastikan kesiagaan ATM terus berada pada tahap tertinggi demi mempertahankan kedaulatan negara.

    Ia merupakan salah satu daripada pelbagai usaha berterusan yang MINDEF dan ATM laksanakan khususnya sejak beberapa bulan lalu bagi memastikan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM terus dilengkapi aset-aset yang diperlukan biarpun mendepani era pasca pandemik yang serba mencabar.

    Terdahulu, ketibaan Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein disambut oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain selaku penganjur LKT 2022 bertempat di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin, Gemas pada 21 Jun 2022.

    Menteri Kanan Pertahanan berkata dalam isu Helikopter MD 530G, proses perolehan dapat diselesaikan dan ia juga telah diterima oleh end user iaitu Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) di mana dapat disaksikan serta diuji keupayaannya dalam LKT tahun ini.

    “LKT ini berupaya mempamerkan atur gerak dan keupayaan combat team dalam ketumbukan combined arms melalui maneuver dan kuasa tembakan secara segmen dinamik bagi memperagakan keberkesanan sistem persenjataan ATM dalam senario pertempuran masa kini di samping memberi pendedahan kepada para penuntut Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia (KPSM) dari Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT),” jelasnya.

    Seramai 2,300 pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terlibat dalam LKT 2022 dan turut memperagakan 644 buah aset serta persenjataan melibatkan PT91M PENDEKAR, AV8 GEMPITA, AV4 LIPAN BARA, ACV 300 ADNAN dan Malaysian Infantry Fighting Vehicle (MIFV), manakala kuasa tembakan menggunakan persenjataan berkaliber kecil dan besar seperti Unit Lancar Berganda (ULB) ASTROS II, Meriam 155mm G5 MK III, Meriam 105mm PH L5, Anti-Tank Guided Missile (ATGM) INGWE, BAKTAR SHIKAN, Mortar 120mm dan 81mm serta Rocket-Propelled Grenade (RPG-7 40mm).

    Selain itu, latihan tembakan turut melibatkan persenjataan peringkat kompeni iaitu Colt M4, Minimi, GPMG, RPG-7 dan Mortar 60 MM, senjata batalion terdiri daripada Heavy Machine Gun (HMG) dan Automatic Grenade Launcher (AGL), manakala pesawat terlibat adalah Helikopter MD 530G dan Agusta A109 LOH dari PUTD, Eurocopter EC-725 CARACAL dari TUDM, Helikopter Super Lynx dan AS555 Fennec dari TLDM.

    Helikopter MD 530G yang dikendalikan oleh 883 Skuadron PUTD merupakan aset baharu Tentera Darat (TD) turut mempamerkan keupayaannya buat pertama kali dengan melakukan serangan menggunakan M134D Gattling Gun dan FN Herstal 12.7mm Heavy Machine Gun Pod.

    Di samping itu, dalam segmen tembakan tidak langsung, keupayaan Tactical Display Air Support (CAS) bagi pesawat TUDM dalam latihan ini telah dipertontonkan yang mana melibatkan aset-aset pesawat pejuang iaitu FA 18 D Hornet dan BAE Hawk 208.

    Pelaksanaan latihan ini adalah selari dengan Tonggak Pertama Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu Kelangsungan Misi dan Kesiagaan.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM.

    Gambar: Kapt Mursyideen Ahmad Iskandar Shah, SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly, Pbt Mohammad Fadzil Akirul, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi, Saifun Hakimi Zainon dan Riffat Mohd Yusof.

  • Jasa Dan Pengorbanan Para Perajurit ATM Dihargai – Menteri Kanan Pertahanan

    Jasa Dan Pengorbanan Para Perajurit ATM Dihargai – Menteri Kanan Pertahanan

    KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein menyatakan bahawa sesebuah organisasi tentera yang memiliki aset yang canggih, latihan yang mantap, strategi yang ampuh, tidak akan pernah lengkap tanpa moral anggota yang tinggi.

    “Dan bagi memelihara moral ini, kebajikanlah jawapannya.

    “Majlis ini menjadi satu platform untuk kita mengenang jasa dan pengorbanan para perajurit Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak kiralah yang berceloreng hijau, putih mahupun biru, sama ada di dalam hutan belantara, samudera mahupun ruang udara, saya sedar bahawa khidmat bakti setiap anggota amat besar dan penting kepada tanah air.

    “Kerana itulah setiap kali meraikan bulan Ramadan di Kementerian Pertahanan, majlis seumpama ini merupakan salah satu majlis yang saya nanti-nantikan,” jelasnya.

    Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Kepada ATM Tahun 2022 bertempat di Auditorium Wisma Pertahanan pada 14 Apr 2022.

    Tambahnya lagi, kurang dari tiga minggu umat Islam bakal meraikan 1 Syawal dan akan berkumpul dengan ahli keluarga, bertakbir, solat sunat Aidilfitri, bermaafan serta menikmati juadah raya bersama-sama dan ia merupakan saat yang sangat berharga.

    “Akan tetapi, kita juga perlu sedar bahawa ada segelintir yang tidak berpeluang merasainya di mana mereka juga sama seperti kita semua mempunyai suami dan isteri, anak-anak serta ibu bapa yang dicintai.

    “Ketiadaan mereka bersama keluarga pada 1 Syawal demi memastikan kita semua yang berada di rumah, dapat meraikan Aidilfitri bersama keluarga dalam suasana yang aman dan tenteram,” ujar Menteri Kanan Pertahanan.

    Selain itu, beliau juga mengumumkan beberapa perkara penting yang berkait rapat dengan soal kebajikan warga ATM seperti inisiatif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang bersetuju untuk memperkenalkan dua kemudahan pengeluaran baharu iaitu pengeluaran haji dan pengeluaran pendidikan yang mana kedua-dua pengeluaran ini dibenarkan sekali sepanjang tempoh perkhidmatan setiap ahli yang berkuatkuasa mulai 15 Apr 2022.

    Tambahan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut mengesahkan bahawa inisiatif terbaharu Faedah Gantian Cuti Rehat (FGCR) yang diberikan kepada penjawat awam turut akan dipanjangkan kepada anggota ATM.

    Anggota ATM yang berumur 45 tahun yang bakal menamatkan perkhidmatan bukan sahaja bakal menikmati FGCR yang telah dinaikkan daripada maksimun 150 hari kepada 160 hari, bahkan anggota terbabit juga dibenarkan menikmati bayaran pendahuluan yang bersamaan dengan 80 hari cuti tanpa perlu menunggu sehingga benar-benar tamat perkhidmatan, kemudian bakinya akan dibayar selepas tamat perkhidmatan.

    “Makluman awal bahawa sedikit masa lagi Ministry of Defence (MINDEF) akan mengumumkan perancangan baharu dalam usaha menambahbaik aspek pendidikan anak-anak warga ATM di seluruh negara secara holistic, merangkumi penambahbaikan infrastruktur di 38 buah sekolah dalam kem ATM, pusat-pusat tuisyen, biasiswa dan beberapa lagi inisiatif lain.

    “Bagi veteran ATM pula, selain daripada pembayaran Bantuan Khas Aidilfitri sebanyak RM250 seperti Perdana Menteri umumkan baru-baru ini, saya juga ambil maklum bahawa ramai veteran ATM yang komen di media sosial saya mengenai Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah RM350 yang diumum semasa pembentangan Bajet 2022 tempoh hari belum diterima dan saya telah mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) agar mempercepatkan proses pengagihan tersebut.

    “Saya juga amat berterima kasih kepada 77 penyumbang yang menghulurkan sumbangan hari raya dalam pelbagai bentuk kepada para anggota ATM khususnya yang bertugas semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

    Daripada 77 penyumbang, sebanyak 11 penyumbang telah membuat sumbangan berbentuk barangan, manakala 66 penyumbang lagi membuat sumbangan berbentuk kewangan dan lebih bermakna, jumlah sumbangan barangan serta kewangan yang terkumpul kini berjumlah RM1,881,180 yang mana nilainya lebih besar daripada tahun lalu.

    Tahun ini sebanyak 15,000 beg Hari Raya akan diagihkan kepada anggota yang bertugas di perbatasan sama ada di Semenanjung, Sabah, Sarawak dan juga di luar negara di bawah misi Panji-Panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta di Mindanao, Selatan Filipina di bawah International Monitoring Team (IMT).

    Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM.

    Gambar: Pbt Mohammad Fadzil Akirul

  • Generasi Budak Boy Bakal Terajui Kepimpinan Negara

    Generasi Budak Boy Bakal Terajui Kepimpinan Negara

    KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM percaya bahawa para Putera Tingkatan Lima dapat meneruskan ikrar Berkhidmat Memimpin serta mentaati Piagam Maktab Tentera Diraja (MTD) yang bukan sahaja menjadi pegangan, malah harus dikotakan selagi nyawa dikandung badan.

    “Keperibadian mereka diperkukuhkan dengan interaksi hidup merangkumi pelbagai agama, bangsa dan kaum sepanjang tempoh pembelajaran di maktab ini yang merupakan ertikata sebenar terhadap konsep Keluarga Malaysia.

    “Walaupun kehadiran COVID-19 banyak menghadkan pelaksanaan aktiviti pembelajaran dan pembinaan perwatakan para Putera, namun secara tidak langsung ianya dapat membina daya tahan yang sangat tinggi buat mereka semua,” jelasnya.

    PAT berkata demikian semasa menyempurnakan acara Perbarisan Tahunan Putera MTD Tahun 2021 bertempat di Padang Kawad MTD pada 2 Apr 2022.

    Tambahnya lagi, beliau turut berpesan kepada para Putera agar membuat pilihan dengan bijak sama ada mahu melanjutkan pelajaran atau terus menceburi bidang yang diidamkan kerana ianya merupakan kelangsungan perjalanan karier pada masa hadapan.

    “Secara peribadi, kehadiran saya pada hari ini boleh dianggap sebagai sentimental journey yang telah banyak mengubah perwatakan, wawasan serta hala tuju hidup saya sejak menyertai Maktab ini pada tahun 1978.

    “Semoga MTD terus kekal unggul dan namanya terukir sebagai sebuah institusi yang dipercayai dan berjaya melahirkan para pemimpin negara dalam semua sektor, lapangan dan bidang pada masa akan datang,” jelas PAT.

    Buktinya, MTD sejak penubuhannya 70 tahun lalu telah melahirkan ramai Putera yang  berjaya seperti ada sebahagian besar daripada mereka sedang menjawat jawatan tertinggi dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Perkhidmatan Awam termasuklah di dunia korporat.

    Perbarisan pada kali ini berkekuatan seramai 480 Putera yang terdiri daripada 223 Putera Tingkatan Lima dan 257 Putera Tingkatan Empat diketuai Pegawai Rendah Kanan (PRK), Mohd Jasim Abdul Aziz.

    Dalam perbarisan ini, PAT turut menyampaikan hadiah kepada Putera MTD mengikut kategori, antaranya adalah Anugerah Menteri Pertahanan disandang oleh PRK Mohd Jasim Abdul Aziz, Anugerah Komandan disandang oleh PRK Qarin Loqman Safriza, Anugerah Pengarah Pengajian disandang oleh Pegawai Rendah Muda (PRM), Nu’man Hadif Ahmad Aezuddin dan Anugerah Piala Kompeni Komandan dimenangi oleh Kompeni Golf.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Indera Hj Mohammad Salleh Hj Osman TUDM.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • Tabung Ihya’ Ramadan 1443H Dapat Memperkasakan Syariat Ibadat

    Tabung Ihya’ Ramadan 1443H Dapat Memperkasakan Syariat Ibadat

    KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM menyempurnakan Majlis Pelancaran Tabung Ihya’ Ramadan 1443H dan Sumbangan Tabung Zakat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertempat di Masjid Khalid Al-Walid (MKWK) pada 1 Apr 2022.

    Pelancaran Tabung Ihya’ Ramadan merupakan majlis bagi mengumpul dana dan sumber kewangan untuk membiayai program dan aktiviti pengimarahan kerohanian yang dirancang sepanjang Ramadan 2022M/1443H.

    Semua aktiviti pengimarahan yang akan dilaksanakan di MKWK adalah bertujuan membina sifat ehsan dan taqwa dalam diri setiap warga tentera dan masyarakat awam setempat.

    Ia juga dilihat sebagai sebahagian tugas dan tanggungjawab Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) khususnya dalam memperkasakan pensyariatan Ibadat Puasa Ramadan yang dituntut sebagai rukun asas dalam Islam.

    Selain mengutip sumbangan derma dari individu dan syarikat bagi membiayai program sepanjang Ramadan, pelancaran ini juga dapat menyemarakkan aktiviti syiar Islam di setiap masjid dan surau ATM serta meningkatkan kesedaran anggota untuk membuat persediaan fizikal dan spiritual bagi menyambut bulan Ramadan pada tahun ini.

    Terdahulu, ketibaan PAT disambut Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain dan Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Mej Jen Hj Mohd Rashidi Bujai.

    Majlis diteruskan lagi dengan penyerahan sumbangan Tabung Zakat ATM sebanyak RM 183,500.00 oleh PAT kepada Panglima-Panglima Perkhidmatan bagi tujuan program dan aktiviti kerohanian yang dilaksanakan sepanjang Ramadan 2022M/1443H.

    Di samping itu, majlis ini juga mendapat kerjasama penaja daripada Syarikat QSR Brands (M) Holdings Berhad bagi menaja pek KFC selama 30 hari dengan kos RM160,500.00 serta sumbangan individu korporat bagi menampung kos penyediaan bubur lambuk yang bernilai RM48,600.00 sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

    Program ini juga telah dijadikan Inisiatif Strategik Pelan Strategik MINDEF (PSM) 2021 hingga 2025 di bawah Teras 3, Kelestarian Kesejahteraan Warga Kerja Pertahanan (WKP) yang menggalakkan kerjasama strategik antara ATM dengan agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

    Turut hadir, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, Panglima Tentera Udara, Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM, Panglima Angkatan Bersama, Lt Jen Dato’ Indera Hj Yazid Hj Arshad TUDM, Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP), Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal, Pemangku Ketua Jabatan Syariah & Pematuhan Halal QSR Brands (M) Holdings Bhd, Hayazi Darus dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mahadi Sukarno.

  • Kerjaya Ekonomi Gig Membuka Lembaran Baharu Kepada Veteran ATM

    Kerjaya Ekonomi Gig Membuka Lembaran Baharu Kepada Veteran ATM

    KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pertahanan, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz mengucapkan syabas dan tahniah di atas dedikasi serta semangat yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam mengambil berat isu-isu berkaitan kesejahteraan hidup veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    “Hari ini kita akan menyaksikan pelancaran yang akan menjadi satu langkah bersejarah dalam usaha menggalakkan dan memartabatkan veteran ATM menerusi penglibatan di dalam kerjaya ekonomi gig kerana permintaan terhadap kerjaya ini semakin meningkat kesan daripada pandemik COVID-19.

    “Selain itu, kerajaan telah memberi tumpuan khas kepada ekonomi gig sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan pelbagai insentif yang ditawarkan kepada majikan dan peruntukan bagi perlindungan sosial dan latihan,” jelas beliau.

    Timbalan Menteri Pertahanan berkata demikian dalam ucapannya Sempena Majlis Pelancaran Kerjaya Ekonomi Gig untuk veteran ATM bertempat di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM pada 12 Jan 2022.

    Tambahnya lagi, ekonomi gig ini merupakan satu terma yang semakin sinonim seperti Grabcar, Grabfood, Foodpanda, Lalamove dan perkhidmatan seumpamanya pasti mampu memberi limpahan peluang pekerjaan kepada veteran ATM di mana fleksibiliti masa dan lokasi merupakan bonus point.

    Kerjaya gig menerusi Code 7 Sdn Bhd (Code 7) yang menawarkan perkhidmatan berasaskan keselamatan adalah signifikan dengan kepakaran dan kemahiran yang dimiliki majoriti veteran ATM.

    Dengan pelancaran kerjaya gig menerusi Code 7 ini, seramai 128,000 veteran ATM berpotensi untuk menyertainya dan setakat ini 517 veteran menunjukkan minat di mana 307 daripadanya telah berjaya didaftarkan sebagai E-Responder iaitu jawatan yang ditawarkan oleh Code 7.

    Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal Hj Abdul Samad TUDM dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

     

  • Bantuan Banjir Ringankan Beban Yang Ditanggung

    Bantuan Banjir Ringankan Beban Yang Ditanggung

    KUALA LUMPUR: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM menyatakan sesungguhnya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amat berterima kasih dengan keprihatinan dan bantuan yang disumbangkan oleh kerajaan United Arab Emirates (UAE) dalam membantu mereka yang terkesan dengan bencana banjir terutama kepada warga tentera dan keluarga mereka.

    “Barangan sumbangan ini terdiri daripada sejadah, Al-Quran, telekung, barang kering dapur, beras, minyak masak, hygiene kit, cadar, tilam, tuala, selimut serta bantal di mana sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung mereka.

    “Selain itu, organisasi Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) yang bertanggung jawab menjaga hal ehwal kebajikan keluarga anggota tentera turut memainkan peranan bersama ahli-ahlinya untuk bersama membantu menyalurkan sumbangan yang diterima kepada warga tentera dan ahli keluarga yang terkesan,” jelasnya.

    Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Bantuan Mangsa Banjir daripada Kerajaan UAE kepada ATM di Wisma Perwira ATM Pada 30 Dis 2021.

    Majlis penyampaian bantuan banjir ini telah disampaikan oleh UAE Ambassador, H.E Khalid Ghanim Alghaith kepada PAT dan Pengerusi Jemaah Tertinggi BAKAT ATM, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Hjh Tengku Muhaini Al-Marhum Sultan Hj Ahmad Shah untuk diagihkan kepada warga ATM dan keluarga yang terkesan dengan musibah banjir di beberapa buah negeri baru-baru ini.

    Turut hadir, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain dan Panglima Tentera Laut (PTL), Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

  • Penyatuan Kuasa Tembakan Dalam LKT 2021 Bukti Kesiagaan ATM – PAT

    Penyatuan Kuasa Tembakan Dalam LKT 2021 Bukti Kesiagaan ATM – PAT

    NEGERI SEMBILAN: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM menyaksikan Latihan Kuasa Tembakan (LKT) Tahun 2021 bertempat di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin, Gemas pada 14 Okt 2021.

    Dalam ucapan PAT, beliau menjelaskan bahawa latihan ini secara tidak langsung mempamerkan kredibiliti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam menggalas tugas utama iaitu memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

    “Apa yang dipertontonkan pada Hari ATM Ke-88 di Kem Segenting pada 22 Sep lalu bagi saya adalah menggerunkan, namun apabila ditambah dengan penyatuan kuasa tembakan yang dipamerkan pada hari ini memperlihatkan kredilibiti dan keupayaan sebenar ATM.

    “Keupayaan yang ditonjolkan juga adalah sebagai simbol keyakinan rakyat bahawa kesiagaan ATM kepada tugas utama tidak terjejas walaupun kini tumpuan diberikan kepada pelaksanaan tugas sekunder iaitu membantu negara menangani pandemik COVID-19,” tegasnya.

    Tambahnya lagi, melalui latihan ini jelas menggambarkan anggota tentera mampu mengendalikan platform kenderaan dan persenjataan yang sophisticated dan terkini secara profesional sebagaimana latihan yang diberikan.

    Terdahulu ketibaan PAT disambut oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain dan kemudian diberi taklimat berkenaan latihan oleh Panglima 3 Div, Mej Jen Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

    LKT 2021 ini diadakan untuk mempamerkan keupayaan sesebuah combat team dalam ketumbukan combined arms melalui maneuver dan kuasa tembakan secara segmen dinamik yang merangkumi senjata Bantuan Infantri, Mekanize, Armor, Artileri, Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) serta Pesawat Udara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam memperagakan keberkesanan sistem persenjataan ATM.

    Selain itu, latihan ini turut menguji pengurusan pasukan serta keupayaan dan kompetensi anggota yang terlibat dalam melaksanakan latihan tembakan peluru hidup.

    Latihan juga diadakan bagi memberi pendedahan kepada para penuntut Kursus Pemerintahan dan Staf Malaysia (KPSM) dari Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) di mana ianya telah dipertontonkan kepada mereka pada 12 Okt 2021.

    Latihan ini kali terakhir diadakan pada tahun 2019, namun dalam skala kecil disebabkan negara ketika itu dilanda keadaaan jerebu, manakala pada tahun 2020 latihan tidak dapat dilaksanakan disebabkan pandemik COVID-19.

    Seramai 969 pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) terlibat dalam LKT 2021 bersama 106 buah aset dan persenjataan melibatkan Kenderaan Perisai Pendekar, Gempita, Lipan Bara, Adnan dan Malaysian Infantry Fighting Vehicle (MIFV) manakala aset persenjataan pula merangkumi persenjataan kecil hingga ke senjata berkaliber besar seperti Unit Lancar Berganda (ULB) Astros II, Meriam 155 MM G5 MK III, Meriam 105 MM PH L5, Anti-Tank Guided Missile (ATGW) Ingwe, Baktar Shikan, Mortar 81 MM dan Rocket-Propelled Grenade (RPG-7 40MM).

    Selain itu, latihan tembakan turut melibatkan persenjataan peringkat kompeni iaitu Colt M4, Minimi, M203, GPMG, RPG-7 dan Mortar 60 MM, senjata batalion terdiri daripada Heavy Machine Gun (HMG) dan Automatic Grenade Launcher (AGL), manakala pesawat terlibat adalah Helicopter Super Lynx dari TLDM yang dipasang dengan persenjataan HMG, dan Helicopter Agusta A109 LOH bersama Gatling Gun dari PUTD.

    Turut hadir,  Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Dato’ Mardzuki Muhammad.

    Gambar: SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly, LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi, Saifun Hakimi Zainon, Riffat Mohd Yusof dan Mohammad Nazif Mohd Zuki.

  • Program MINDEF Prihatin Bantu Warga KEMENTAH

    Program MINDEF Prihatin Bantu Warga KEMENTAH

    KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein merakamkan setinggi – tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee atas kesudian menjalinkan kerjasama bersama Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) bagi menjayakan Program MINDEF Prihatin pada hari ini.

    “Pendekatan kerjasama bersepadu dan merentasi Kementerian seperti ini sememangnya amat penting terutamanya di era pandemik yang serba mencabar ini yang mana kakitangan awam KEMENTAH dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga tidak terkecuali daripada menerima kesannya.

    “Sejak program ini dilaksanakan pelbagai pihak daripada Bank Islam, Bantu-Bantu Malaysia, Koperasi Tentera dan PERNAMA telah tampil untuk menyalurkan sumbangan bakul makanan yang telah berjaya diagihkan kepada 9,000 penerima setakat ini.

    “Kerjasama yang dijalinkan ini amat bermakna kerana ia dapat membantu warga ATM dan MINDEF khususnya yang berada di dalam kategori asnaf serta B40 dan ianya juga dapat membantu usaha MINDEF untuk membela kebajikan anggota, veteran ATM dan warga awam MINDEF khususnya dalam berhadapan situasi COVID – 19,” jelas Menteri Kanan Pertahanan.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyerahan Bakul Makanan Hasil Sumbangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melalui Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di  Padang Kawad Kem KEMENTAH pada 6 Okt 2021.

    Tambah Menteri Kanan Pertahanan, pada hari ini MINDEF lebih bertuah kerana mendapat sumbangan bakul makanan daripada FAMA melalui MAFI yang bakal dimanfaatkan untuk diberikan kepada 1,500 penerima yang terdiri daripada anggota ATM dan warga awam MINDEF.

    Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dan Panglima Tentera Udara, Jen Tan Sri Ackbal Hj Abdul Samad TUDM.

    Gambar: Mohammad Nazif Mohd Zuki

  • ATM Teguh Hubungan Antarabangsa

    ATM Teguh Hubungan Antarabangsa

    KUALA LUMPUR: Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Sri Hishammuddin Tun Hussein merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah dan syabas kepada seluruh pasukan Batalion Malaysia 850-9 (MALBATT 850-9) di atas pengorbanan, komitmen dan perjuangan yang tidak berbelah bahagi.

    “Walaupun dunia masih dilanda pandemik COVID-19, ianya tidak membantutkan hasrat kumpulan pertama MALBATT 850-9 untuk melaksanakan misi di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan penuh bersemangat walaupun terpaksa meninggalkan keluarga tercinta demi tugas dan tanggungjawab sebagai seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

    “Penglibatan ATM dalam melaksanakan misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL) di bawah panji-panji PBB semenjak tahun 2007 membuktikan pengiktirafan berterusan PBB terhadap ATM sekaligus Malaysia terus diberi kepercayaan dan penghormatan tertinggi di peringkat antarabangsa,” jelas Menteri Kanan Pertahanan.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pemakaian Beret PBB, Penyerahan Bendera Malaysia dan Penghantaran Kumpulan Pertama MALBATT 850-9 di Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang pada 30 Sep 2021.

    Kumpulan Pertama MALBATT 850-9 yang diketuai oleh Kol Megat Maz Ardi Nohuddin selaku Komander telah berlepas ke Lubnan pada hari ini bersama 218 pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) bagi menyertai misi pengaman selama setahun.

    Untuk rekod, MALBATT 850-9 berkekuatan seramai 854 anggota ATM termasuk 30 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan seorang pegawai awam Kementerian Pertahanan akan diatur gerakkan ke negara berkenaan secara berfasa.

    Aturgerak pasukan MALBATT 850-9 pada kali ini menampilkan jumlah anggota wanita paling ramai sejak ATM terlibat dalam Misi UNIFIL iaitu seramai 11 pegawai dan 75 anggota LLP dimana mereka akan melaksanakan misi selama setahun berbanding enam bulan secara penggiliran sebelum ini.

    Ini membuktikan keupayaan dan kredibiliti anggota wanita ATM selari dengan keperluan semasa UNIFIL yang sememangnya memerlukan lebih ramai penglibatan anggota wanita bagi melaksanakan tugasan berkaitan kemasyarakatan melibatkan wanita-wanita tempatan.

    Tambah Menteri Kanan Pertahanan, Force Integration Training (FIT) yang telah ditempuhi oleh anggota MALBATT 850-9 di MALBATT Village, Port Dickson pada 28 Jun hingga 20 Ogos 2021 yang lalu amat penting bagi mempersiapkan mental dan fizikal para anggota memandangkan operasi PBB dilaksanakan di negara yang berbeza persekitaran, iklim serta budaya.

    Di akhir ucapan, beliau merakamkan setinggi-tinggi perhargaan dan terima kasih kepada seluruh keluarga MALBATT 850-9 yang telah memberi restu membenarkan suami, isteri, anak, abang atau adik melaksanakan misi di luar negara.

    Terdahulu dari itu, beliau menyempurnakan acara pemakaian beret PBB yang dimulakan dengan pemakaian beret kepada Komander MALBATT 850-9 lalu diteruskan acara serah menyerah bendera Malaysia sebagai simbolik bahawa MALBATT 850-9 siap untuk diatur gerak disaksikan pegawai-pegawai kanan ATM.

    Turut hadir, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd Aziz, Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain.

    Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi

  • Demonstrasi Hari ATM Berkelas Dunia – PAT

    Demonstrasi Hari ATM Berkelas Dunia – PAT

    NEGERI SEMBILAN: Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jen Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang TUDM menzahirkan rasa bangga dan syabas atas pertunjukkan demonstrasi dinamik yang berkelas dunia.

    “Saya mengucapkan syabas kepada semua yang terlibat dalam menjayakan pertunjukkan yang menggerunkan dan sekarang kamu semua sudah bersedia untuk pertunjukkan berkelas dunia,” jelas PAT ketika berucap semasa sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Ke-88 di Padang Kawad Kem Segenting pada 22 Sep 2021.

    Tambah PAT lagi, pertunjukkan yang dipamerkan membuktikan bahawa kesiagaan ATM sentiasa berada di tahap yang tertinggi sepanjang masa.

    “Suka saya kongsikan perancangan masa hadapan ATM yang sedang diusahakan melalui dokumen Strategi Ketenteraan Negara (SKN) 2.0 yang kini berada di peringkat akhir penambahbaikannya.

    “SKN 2.0 memberi tumpuan kepada reformasi Angkatan Masa Hadapan melalui ciri-ciri yang meliputi kebersamaan, kebolehoperasian, berasaskan teknologi, keupayaan untuk beroperasi serentak dalam dua wilayah dan berorientasikan misi,” ujarnya.

    Tegas beliau lagi, dalam kesungguhan mencapai Angkatan Masa Hadapan perlu diingatkan bahawa perancangan, pembangunan dan perolehan pertahanan hendaklah dilaksana secara menyeluruh kerana kegagalannya akan memerangkap ATM ke arah menjadi sebuah Angkatan yang lompong.

    PAT menyeru semua Panglima Perkhidmatan dan seluruh warga ATM untuk bersama beliau bersedia membuat anjakan paradigma untuk menerima dan mengaplikasikan strategi ketenteraan negara ini kerana sudah tiba masanya ATM membina kembali keupayaan angkatannya bagi mendepani cabaran utama keselamatan dan kedaulatan negara.

    “Pada masa sama, ATM melalui Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) sedang mengusahakan inisiatif bagi memperkasakan para isteri dan keluarga melalui Program Transformasi Digital BAKAT atau e-BAKAT, dimana para isteri berpeluang meningkatkan kemahiran keusahawanan secara digital yang mana sedikit sebanyak dapat menjana pendapatan tambahan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup keluarga.

    “Kepada mereka yang bakal menamatkan perkhidmatan pula, beberapa inisiatif telah diwujudkan dengan kerjasama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) antaranya Program Recognition of Prior Experiental Learning (RPEL), Program Kerjaya Kedua, penganjuran kursus-kursus peralihan dan kemahiran yang melayakkan mereka memperolehi sijil yang diiktiraf oleh sektor awam dan swasta,” jelas PAT.

    Terdahulu PAT menerima tabik hormat daripada kontinjen perbarisan yang diketuai oleh Kol Mohd Rosli Abu Bakar melibatkan seramai 40 pegawai dan 682 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) ATM yang berkonsepkan perbarisan statik tempur dengan penglibatan lapan detasmen.

    Keseluruhan penglibatan pegawai dan anggota dalam menjayakan sambutan Hari ATM pada tahun ini adalah seramai 2,500 anggota dan Pelaksanaan Latihan Kesiagaan memperlihatkan aset serta kompetensi ATM melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat (TD), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), secara tidak langsung mempamerkan kredebiliti ATM dalam menggalas tugas utama bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan sentiasa terpelihara.

    Sambutan Hari ATM pada tahun ini bertemakan ‘Kedaulatan Negara Tanggungjawab Bersama’ dilaksanakan dengan dua segmen iaitu segmen demonstrasi dinamik dan segmen perbarisan mengikut pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang terkawal tanpa kehadiran penonton.

    Seterusnya Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain selaku Penaung Jawatankuasa Penganjur mengiringi PAT untuk penyampaian Anugerah Kesiagaan PAT Tahun 2021 yang merupakan anugerah tertinggi dalam ATM, dimana anugerah bagi kategori Formasi atau Bgd terbaik TD dimenangi oleh Panglima 10 Bgd (Para), Brig Jen Khairul Azmizal Ahmad Natal, bagi kategori Pasukan terbaik TLDM dianugerahkan kepada Pegawai Memerintah KD Lekir, Komander Asri Dasman TLDM dan kategori Pangkalan Udara terbaik TUDM berjaya disandang oleh Komander Pangkalan Udara Kuantan, Brig Jen Zulkiffli Hj Musa TUDM.

    Walaupun tahun 2021 merupakan tahun kedua ATM berhadapan dengan cabaran dalam menggalas tugas sekundernya bagi membantu negara mengekang penularan pandemik COVID-19, namun situasi ini tidak menjadi penghalang untuk ATM terus memastikan kesejahteraan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

    ATM sebagai benteng utama pertahanan negara akan terus komited untuk mendokong misi dan wawasan negara bagi menentukan keamanan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

    Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Udara, Lt Jen Dato’ Asghar Khan Goriman Khan TUDM dan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Dato’ Abdul Rahman Hj Ayob TLDM.

    Gambar: SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly, LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime, Pbt Mohamad Shukri Suhaimi, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi dan Saifun Hakimi Zainon