Bersama PemimpinLatihanSemasaTrup TD

Eks HARIMAU SATYA Tingkat Kemahiran Pasukan Khusus TDM Dan TNI-AD

JOHOR: Seramai 10 pegawai dan 47 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) daripada 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) serta Komando Pasukan Khusus Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (KOPASSUS TNI-AD) terlibat dalam Upacara Penutup Eksesais HARIMAU SATYA 9/22 di Teluk Murau, Kem Iskandar, Mersing pada 22 Sep 2022.

Eksesais berkonsepkan Cross Training Exercise (CTX) dan Field Training Exercise (FTX) atur gerak operasi sniper terhadap Taktik, Teknik dan Prosedur (TTP) ini berlangsung selama 10 hari mulai 14 hingga 22 Sep 2022.

Objektif eksesais ini adalah untuk meningkatkan kemahiran memimpin dan merancang pelaksanaan atur gerak operasi sniper dalam kalangan pegawai dan anggota di samping mengukuhkan hubungan profesional ketenteraan di antara Malaysia dengan Indonesia.

Terdahulu, Komandan Jeneral KOPASSUS, Mayor Jeneral TNI Iwan Setiawan menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kuarter di Balai Pengawal Rejimen 22 Komando (22 Kdo) sebelum diiringi Ketua Staf Am MK 21 GGK, Brig Jen Adi Ridzwan Abdullah ke Teluk Murai dengan menggunakan pengangkutan air.

Upacara penutup dimulakan dengan pertunjukan demonstrasi penyusupan sniper melibatkan anggota GGK dan KOPASSUS yang mempamerkan gambaran kemampuan pasukan khusus dalam melaksanakan sebarang jenis operasi.

Acara diteruskan dengan pertukaran Patch Kepakaran Sniper dan Terjun Bebas yang disempurnakan oleh Komandan Jeneral KOPASSUS serta Ketua Staf Am MK 21 GGK kepada pegawai dan anggota sebagai simbolik penutupan eksesais.

Komandan Jeneral KOPASSUS mengucapkan ribuan terima kasih kepada Panglima 21 GGK kerana dapat menjayakan eksesais ini selain berharap kualiti latihan dapat ditingkatkan seiring dengan ikatan persaudaraan antara Malaysia dengan Indonesia.

Eksesais yang dilaksanakan ini sejajar dengan Tonggak Keempat Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Pengukuhan Hubungan Pertahanan dalam memfokuskan kerjasama ketenteraan serantau dan antarabangsa.

Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime dan Pbt Mohammad Shukri Suhaimi

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button