Bersama PemimpinSejarahSemasa

Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-Panji RAMD

KUALA LUMPUR: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah selaku Kol Yang Di-Pertua Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) berkenan berangkat mencemar duli ke Istiadat Perbarisan Pertukaran Panji-Panji Rejimen 2 RAMD, 10 RAMD, 12 RAMD (Mek) dan 14 RAMD (Mek) di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi pada 17 Okt 2022.

“Beta percaya bahawa penggantian panji-panji ini akan menjadi denyutan nadi kepada seluruh warga keempat-empat batalion mencurahkan kesetiaan dan khidmat bakti dengan lebih cemerlang.

“Justeru, seluruh warga 2 RAMD, 10 RAMD, 12 RAMD (Mek) dan 14 RAMD (Mek) disarankan untuk mengibarkan panji-panji yang dikurniakan dengan megah walau berada di mana sahaja,” ujar baginda.

Perbarisan penuh istiadat ini melibatkan seramai 48 pegawai dan 525 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai Pegawai Memerintah dari keempat-empat rejimen diiringi Pancaragam Pusat RAMD.

Acara Perbarisan Istiadat dimulakan dengan istiadat mengarak keluar semua Panji-panji RAMD diiringi dengan deklamasi sajak.

Seterusnya, Istiadat Pertukaran Panji-panji Rejimen disempurnakan oleh Kol Yang Di-Pertua RAMD diiringi Panglima Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Div), Mej Jen Dato’ Hj Muhammad Huzaimi Sabri selaku Pengerusi RAMD menerusi acara tepung tawar Panji-Panji sebagai simbolik pentauliahan Panji-Panji baharu diikuti lafaz ikrar oleh Ketua Perbarisan sebelum diakhiri dengan persembahan Watikah Ikrar kepada Kol Yang Di-Pertua RAMD.

Panji-panji Rejimen yang baharu kemudiannya dibawa berarak sebagai satu tradisi bagi memastikan setiap pegawai dan anggota mengenali panji-panji keagungan rejimen masing-masing.

Terdahulu, sebaik keberangkatan tiba Kol Yang Di-Pertua RAMD, baginda menerima Hormat Diraja dari kontinjen perbarisan dan Istiadat Pertukaran Panji-panji Rejimen diakhiri dengan laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali.

Turut hadir, Raja Muda Kedah, Duli Yang Teramat Mulia Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim, Panglima Tentera Darat, Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain, Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman dan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad.

Gambar: LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime dan Pbt Mohammad Fadzil Akirul

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button