KUALA LUMPUR: Pasukan Bola Jaring Kor Risik Diraja (KRD) mengekalkan kejuaraan Kejohanan Bola Jaring Antara Kor dan Rejimen Tahun 2023 selepas menumpaskan musuh tradisi dari Pasukan Bola Jaring Kor Ordnans Diraja (KOD) dengan kutipan mata 40 berbalas 31 dalam aksi perlawanan akhir di Dewan Serbaguna Kem Wardieburn pada 12 Jun 2023.
Terdahulu, Panglima Latihan Tentera Darat merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Sukan Tentera Darat, Mej Jen Datuk Marzuki Hj Mokhtar diiringi Pengerusi Persatuan Bola Jaring, Brig Jen Suhaimi Mat Isa dibawa untuk diperkenalkan kepada para pemain sebelum menyempurnakan gimik perlawanan akhir.
Bagi anugerah khas iaitu Anugerah Penjaring Terbanyak dimenangi oleh PW I Nur Hayati Zakaria dari KRD dengan jaringan mata sebanyak 140 gol dan diikuti Anugerah Pemain Terbaik disandang oleh Pbt Noraqilah Rozi dari KOD manakala Anugerah Pemain Harapan diberikan kepada SigW Nur Ennie Afrina Abdullah dari Rejimen Semboyan Diraja (RSD).
Keputusan akhir kejohanan ini juga sekaligus menjadikan RSD menduduki di tempat ketiga.
Pemain-pemain berpotensi dalam kejohanan ini akan dipilih bagi mewakili Tentera Darat ke Kejohanan Bola Jaring Antara Perkhidmatan yang bakal berlangsung mulai 7 hingga 11 Ogos 2023.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera, Mej Jen Dato’ (Dr) Rosman Ab Rahman dan Asisten Ketua Staf Sumber Manusia, Mej Jen Azhan Hj Md Othman.
Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi & Pbt Tuan Mohammad Farizal Tuan Dir