PenghargaanSemasa

Perbarisan Penghargaan Lt Jen Dato’ Hashim Aman Shah

PERLIS: Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain meraikan Lt Jen Dato’ Hashim Aman Shah dalam Perbarisan Penghargaan sempena persaraan mantan Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Pertahanan (AKS OLP) berkenaan yang diadakan di Padang Kawad Markas Briged Ke-30 Infantri Malaysia (MK 30 Bgd) pada 11 Ogos 2022.

“Sepanjang perkhidmatan Lt Jen Dato’ Hashim Aman Shah, beliau mengorbankan jiwa dan raga serta sentiasa komited terhadap tugas yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

“Saya menyarankan agar ketokohan dan kecemerlangannya diteladani oleh seluruh warga Rejimen Askar Melayu Diraja agar dapat mengekalkan Rejimen Askar Melayu Diraja sebagai sebuah kor yang unggul dan kredibel,” ujar PTD dalam ucapannya.

Perbarisan berkonsepkan Berjalan Lalu Dalam Masa Cepat melibatkan empat detasmen berkekuatan seramai 21 pegawai dan 706 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke-3 Rejimen Sempadan (3 RS), Lt Kol Khairul Izwan Jamaluddin serta diiringi Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja.

Lt Jen Dato’ Hashim Aman Shah menzahirkan rasa terharu terhadap perbarisan penuh bersemangat, mempunyai nilai penghormatan tersendiri serta dikurniakan dengan satu perjalanan kerjaya yang teratur.

Sejurus tamat perbarisan, majlis diteruskan dengan sesi jamuan serta tayangan montaj yang menceritakan serba sedikit coretan kenangan sepanjang perkhidmatan Lt Jen Dato’ Hashim Aman Shah selama 41 tahun.

Mengimbau latar belakang Lt Jen Dato’ Hashim Aman Shah, beliau mula mengikuti latihan pegawai kadet di Sekolah Pegawai Kadet, Port Dickson pada tahun 1981.

Antara jawatan penting yang pernah beliau sandang adalah sebagai Pengerusi Batalion Keempat Rejimen Sempadan (4 RS), Ketua Pengarah Bahagian Operasi dan Latihan (OPLAT) di Markas Tentera Darat dan jawatan terakhirnya ialah sebagai AKS OLP bermula dari tahun 2019.

Sebagai tanda penghargaan di atas khidmat bakti beliau, PTD menyerahkan cendera kenangan dan kontinjen perbarisan mengadakan Street Lining bagi mengakhiri upacara.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat Malaysia (TPTD), Lt Jen Datuk Seri Mohammad Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Lt Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Lt Jen Dato’ Mardzuki Muhammad bersama isteri dan pegawai-pegawai kanan yang lain.

Gambar: Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi, Riffat Mohd Yusof

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button