BTDMHUTVeteran

52 Tahun KRD Kekal Versatil Dan Mampan

52 Tahun KRD Kekal Versatil Dan Mampan

PAHANG: Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP) merangkap Pengerusi Kor Risik Diraja (KRD), Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal menyatakan KRD akan terus meningkatkan keupayaan dan pembangunan bagi mewujudkan sebuah organisasi yang relevan, versatil dan mampan. 

“52 tahun bukanlah satu tempoh yang lama bagi sesebuah organisasi tetapi dalam tempoh ini pelbagai kejayaan telah pun dibuktikan namun, perjalanan KRD masih lagi panjang dalam mengorak ke arah kegemilangan demi masa hadapan di mana masa hadapan itu adalah sekarang,” ujar KPPP.

Tambah beliau lagi, keadaan tidak menentu landskap geo-strategik serantau dan antarabangsa memberi kesan secara langsung dan tidak langsung kepada negara. 

“Tumpuan penting kita pada masa kini membabitkan beberapa isu keselamatan seperti isu serantau, pergolakan Laut China Selatan termasuklah kewujudan pakatan keselamatan AUKUS, aktiviti jenayah rentas  sempadan darat dan maritim, krisis di Selatan Filipina dan tuntutan ke atas Negeri Sabah.

“Kesemua isu tersebut menuntut kita untuk sentiasa peka serta menambah baik strategi pengutipan, pengumpulan dan penganalisaan maklumat bagi menghasilkan produk perisikan yang komprehensif,” tegasnya.

Dalam erti kata yang lain, KRD perlu menggandakan kapasiti sebagai pemberi amaran awal, pemusnah inisiatif musuh dan pengusul strategi yang kredibel.

KPPP berkata demikian dalam ucapannya semasa Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) KRD Ke-52 di Padang Kawad Kolej Perisikan Angkatan Tentera Malaysia (KP ATM) pada 7 Nov 2021. 

Terdahulu Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal menerima Tabik Hormat dan memeriksa kontinjen perbarisan diketuai oleh Lt Kol Ermy Fikri Haris Fadhilah melibatkan seramai 15 pegawai dan 113 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang diiringi oleh Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja.

Perbarisan ini merupakan perbarisan istiadat kor yang pertama semenjak beliau mengambil alih jawatan KPPP merangkap Pengerusi KRD bermula daripada 1 Ogos 2020.

Acara diteruskan dengan penyampaian Anugerah Kecemerlangan KRD kepada 12 orang penerima terdiri daripada pegawai dan anggota LLP yang telah mempamerkan mutu perkhidmatan cemerlang dalam bidang kepakaran masing-masing.

Mengimbas kembali sejarah penubuhan KRD, kewujudan kor ini bermula pada Ogos 1953 di mana seorang anak tempatan, Hashim Rauf diserapkan ke unit Headquarters 355 Field Security Section, British Military Intelligence Corps. 

Elemen perisikan di kalangan anak-anak tempatan ini telah melalui pelbagai proses evolusi dan transformasi yang unik sebelum ditubuhkan secara rasmi pada 7 Nov 1969 dan dikenali sebagai Malaysian Armed Forces Intelligence Corps (Kor Risik Angkatan Tentera). 

Komitmen dan kecemerlangan yang dipamerkan Kor Risik khususnya dalam memerangi Pasukan Gerakan Komunis (PGK) semasa era insurgensi telah membawa kepada penganugerahan gelaran Diraja pada 1 Jun 1997.

Sejurus tamat perbarisan, Lt Jen Datuk Ahmad Norihan Jalal sempat menyantuni veteran-veteran KRD yang hadir dalam sambutan tersebut. 

Acara perbarisan ini dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Turut hadir, Timbalan KPPP, Mej Jen Mohd Anuar Mohd Ali, Asisten Ketua Staf Perisikan, Mej Jen Hamzah Ali dan Pengarah KRD, Brig Jen Mohd Razali Alias.

Gambar: SSjn Shamsul Zaidi Zolkoffly, LKpl Muhammad Nashriq Khairul Zaime, Pbt Muhammad Shafirin Mohd Radzi, Saifun Hakimi Zainon dan Pbt Mohamad Shukri Suhaimi

Artikel Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button